Ford Catat Jualan Terbaik Pada September, Rekod Suku Tahunan Terbaik di Malaysia


Ford hari ini mengumumkan prestasi bulan September yang terbaik setakat ini di Malaysia dengan jualan runcit meningkat sebanyak 52 peratus kepada 1,183 unit. 

Prestasi luar biasa bulan September itu mencatatkan rekod suku tahunan terbaik Ford di Malaysia dengan jualan melonjak sebanyak 55 peratus kepada 3,697 unit. Ia dipacu oleh jualan suku tahunan yang memberangsangkan untuk model Ranger dan permintaan kukuh terhadap seluruh rangkaian kenderaan Ford.  

“Kami berbesar hati kerana jenama Ford semakin mendapat perhatian di Malaysia. Kami juga gembira kerana dapat memberi perkhidmatan kepada para pelanggan baru Ford. Rangkaian kenderaan kami menampilkan aspek terbaik Ford. Ini termasuklah fokus kepada keselamatan, prestasi, penjimatan bahan api, teknologi pintar dan gaya yang menarik perhatian,” kata Pengarah Urusan, Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.  

Trak pikap Ranger kekal menjadi model terlaris Ford di Malaysia dengan jualan runcit pada bulan September melonjak sebanyak 48 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 745 unit. Ia merupakan rekod suku tahunan terbaik untuk model Ranger di Malaysia yang menyaksikan jualan meningkat sehingga 73 peratus berbanding suku sama tahun lalu kepada 2,335 unit.

“Versatiliti dan kemampuan tiada tandingan trak yang hebat ini benar-benar mendefinisikan semula segmen trak pikap di pasaran hari ini. Seterusnya meningkatkan tarikannya di Malaysia,” kata Westerman. 

Fiesta baharu yang sporty turut menyumbang kepada rekod bulan September dengan jualan runcit mencecah 209 unit. Seterusnya membantu meningkatkan jualan pada tahun ini hingga kini kepada lebih 35 peratus menjadi 2,590 unit.

Permintaan kukuh terhadap Fiesta dipacu oleh enjin 1.5L Ti-VCT dan varian enjin 1.0L EcoBoost yang berprestasi tinggi. Enjin 1.0L EcoBoost menawarkan kuasa dan prestasi enjin konvensional bersesaran 1.6L, di samping penjimatan bahan api dan tahap emisi yang mendahului kelasnya. 

“Kami gembira untuk melihat semakin ramai pelanggan menghargai prestasi mengagumkan dan kos pemilikan rendah yang ditawarkan oleh enjin 1.0L EcoBoost. Ia benar-benar menjadikan Fiesta sebuah kenderaan yang memiliki nilai unik dalam segmennya,” jelas Westerman.  

Penghantaran SUV urban kompak EcoSport serba baharu bermula pada bulan September dengan 82 pelanggan pertama menerima kenderaan mereka. 

“Kami menjangkakan peningkatan jumlah penghantaran EcoSporft sepanjang suku keempat tahun ini,” kata Westerman. “EcoSport menawarkan para pemandu satu alternatif yang mampu milik dan penuh inspirasi ke dalam segmen kereta kompak yang menawarkan aspek pemanduan menyeronokkan, bebas dan mengujakan tanpa berkompromi dari segi keselamatannya.”  

SUV Kuga yang bergaya dan Focus yang sarat dengan teknologi pula masing-masing menyumbang kepada jualan suku ketiga dengan 221 dan 200 unit. 

Secara keseluruhannya, jualan runcit Ford pada tahun ini sehingga kini telah meningkat sebanyak 34 peratus kepada 10,217 unit. Sekali gus meletakkan syarikat di landasan terbaik untuk mencatat rekod jualan pada tahun ini di Malaysia.  

“Dengan rangkaian kenderaan global Ford dan jumlah pelanggan yang pantas berkembang di Malaysia, kami akan menambah baik khidmat selepas jualan, selain terus mengembangkan rangkaian pengedar supaya dapat memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada para pelanggan,” kata Westerman.



Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger