Ford Tawar Inovasi kepada Jutaan Pengguna Menerusi Teknologi Pintar, Selamat dan Mapan


Dibina berdasarkan kepada visi Henry Ford untuk membuka jalan kepada seluruh umat manusia, Ford hari ini mempamerkan teknologi-teknologi termaju yang membuatkan kenderaannya lebih pintar, selamat dan mapan berbanding sebelumnya. Ford mempamerkan kenderaan-kenderaan yang direka untuk meningkatkan aspek keselamatan jalan raya untuk semua orang, membantu mengurangkan kemalangan di bandar-bandar, dapat bergerak lebih jauh dengan satu tangki minyak dan mengurangkan emisi yang berbahaya. Semua langkah posistif ini adalah untuk pemandu dan penumpang di seluruh Asia Pasifik. 

Acara Innovations for Millions Ford mempamerkan teknologi-teknologi terbaharu, mampu milik dan ciri keselamatan yang mendahului kelasnya.  Tali pinggang keledar boleh kembung untuk penumpang belakang yang pertama di dunia, Blind Spot Information System Ford, Cross Traffic Alert dan Active City Stop turut dipamerkan. Peralatan-peralatan untuk membuatkan pemandu lebih peka seperti Drink Driving Suit akan didemonstrasi, di samping ciri-ciri tercanggih termasuklah Active Park Assist. Bukan itu sahaja, rangkaian enjin EcoBoost Ford yang berteknologi tinggi, komponen-komponen kenderaan yang menggunakan pelbagai material ringan serta generasi terkini sistem ketersambungan di dalam kereta Ford, SYNC juga boleh dilihat secara dekat  oleh para pengunjung. 

“Sekarang ialah masa yang mengujakan buat Ford di Asia Pasifik. Kami akan terus menawarkan kenderaan-kenderaan, teknologi dan servis inovatif yang dimahukan serta dihargai oleh para pelanggan,” kata pengarah kejuruteraan Ford Asia Pasifik, Jim Holland. “Visi kami bukan sekadar mahu mencipta pengalaman pemanduan yang paling pintar dan selamat, malah ingin menjadikan inovasi-inovasi ini boleh  digunakan oleh semua orang.”  

Acara Innovation for Millions menampilkan demonstrasi-demonstrasi di Tapak Ujian Ford Australia, di mana pasukan jurutera menguji kenderaan Ford demi memastikannya menepati standard kualiti tertinggi. Turut diadakan ialah acara-acara interaktif di makmal penyelaman Persekitaran Maya (FiVE) Ford di Melbourne yang baru dinaik taraf. 

Makmal FiVE membolehkan para jurutera dan pereka bentuk untuk bekerjasama pada waktu sebenar dengan pasukan Ford yang lain di seluruh dunia. Makmal baharu itu cukup besar untuk sesi berjalan secara maya di sekeliling kenderaan-kenderaan Ford yang paling besar. Ini memberikan peluang kepada para pereka bentuk dan jurutera merasai pengalaman di dalam kereta yang sedang dibangunkan, sama seperti yang dilakukan oleh seorang pelanggan di bilik pameran. 

Ford memiliki kemudahan maya di Amerika Syarikat, Jerman, China, India, Brazil, Mexico dan Australia. Kemudahan-kemudahan ini adalah sebahagian daripada proses kejuruteraan maya Ford. Ia mengguna pakai persekitaran imersif (bertema) serta kejuruteraan bantuan komputer tercanggih untuk menghasilkan apa jua model dengan tepat, daripada kenderaan secara keseluruhan atau setiap perinciannya sebelum sesebuah prototaip dibina. Permodelan maya ini memberi impak keatas semua perkara termasuklah aerodinamik, keselamatan dan antara muka manusia-mesin. Teknologi ini membolehkan para pereka bentuk dan jurutera untuk mengoptimum sistem-sistem serta komponen jauh lebih awal dalam proses pembangunan sesebuah kenderaan. Hasilnya ialah kenderaan prototaip yang hampir dengan sebuah produk akhir.  

Teknologi-teknologi pintar 

Ford turut memfokuskan inovasi teknologinya pada aspek-aspek yang boleh dinikmati sepenuhnya oleh para pengguna. Ia menawarkan teknologi-teknologi pintar yang membantu membuatkan pemanduan di kawasan urban lebih mudah. 

Pameran Innovation for Millions mempamerkan teknologi Enhanced Active Park Assist Ford yang membolehkan urusan memarkir kenderaan dibuat secara bebas tangan, sama ada untuk parkir selari atau di ruang parkir yang lurus. Sistem itu akan mengimbas ruang parkir yang sesuai. Apabila satu ruang parkir ditemui, ia akan menggerakkan stereng dan hanya memerlukan input seperti penukaran gear, menekan pendikit minyak atau brek daripada pemandu. 

Sistem Active City Stop Ford pula direka untuk membantu pemandu urban mengelak daripada terlibat dalam pelanggaran berkelajuan rendah. Menggunakan alat pengesan infra merah yang menghala ke hadapan, sistem itu akan sentiasa memantau keadaan dan menggunakan brek apabila pengesan medapati pelanggaran mungkin berlaku. Sistem tersebut beroperasi pada kelajuan bawah 30km/j dan mengurangkan risiko pelanggaran kelajuan rendah kepada belakan kenderaan lain. Ia juga membantu untuk mengurangkan kerosakan akibat pelanggaran atau berpotensi untuk mengelakkan pelanggaran daripada berlaku.

Generasi seterusnya teknologi tersebut ialah Enhanced Active City Stop. Ia membolehkan brek kecemasan dilakukan pada kelajuan mencecah 50km/j dan akan ditawarkan kepada pengguna tidak lama lagi. Teknologi itu adalah sebahagian daripada usaha Ford untuk menawarkan sistem brek yang lebih canggih, sekali gus meningkatkan keselamatan di jalan raya. 

Sebagai tambahan kepada teknologi berasaskan pengesanan, Ford turut memaparkan system penyelesaian ketersambungan di dalam kenderaan, SYNC generasi terbaharu yang kini tampil dengan skrin sentuh bersaiz lapan inci. SYNC 2 hadir dengan barisan ciri baharu dan telah dinaik taraf yang membantu pemandu terus berhubung ketika fokus di atas jalan raya. Rasa sangat lapar? Beritahu SYNC “Saya lapar” dan sistem ini akan mencari restoran yang berdekatan. Ini hanya salah satu daripada ciri-ciri mesra pengguna SYNC.

Antara ciri lain yang dipamerkan di acara Innovation for Millions termasuklah Blind Spot Information System (BLIS®) dengan Cross-Traffic Alert Ford. Sistem ini membantu mengesan titik buta pemandu, sekali gus memberi ketengan minda ketika berada di atas jalan raya dan hendak memarkir kenderaan. BLIS® pula merupakan satu sistem berasaskan radar yang mengenal pasti apabila terdapat kenderaan lain dalam titik buta pemandu. Ia kemudian akan memberitahu pemandu melalui lampu indikator dan audio. Cross-Traffic Alert yang berfungsi  selari dengan BLIS® akan mengimbas ruang seluas 20 meter di setiap arah – bersamaan dengan tujuh ruang parkir – untuk memberi amaran kepada pemandu mengenai kenderaan yang menghampiri apabila keluar dari ruang parkir. Semua ciri pintar ini bertujuan membantu meningkatkan tahap kesedaran dan kemudahan pemandu.

Ford turut mempamerkan “Drink Driving Suit” yang inovatif. Ia merupakan satu alat khas yang dibangunkan oleh Ford untuk menunjukkan bagaimana pemanduan akan menjadi semakin sukar selepas seseorang mengambil minuman beralkohol. Terdiri daripada kanta dengan pandangan seperti di lorong, penutup telinga, pemberat pada pergelangan tangan serta buku lali, selain pelindung siku, leher dan lutut, “Drink Driving Suit” membuatkan tugasan mudah seperti berjalan di garisan lurus menjadi begitu sukar. Sut itu digunakan dalam program keselamatan dan pendidikan yang disokong oleh Ford di seluruh dunia untuk membantu mendidik para pengguna mengenai pentingnya kekal peka ketika memandu. Sut itu merupakan satu pengingatan mengenai apa yang boleh berlaku jika pandangan, pendengaran, koordinasi dan kesimbangan mulai terjejas. 

Gabungan kelestarian dan prestasi 

Para pemandu pada hari ini mahukan kenderaan yang lebih ekonomikal, menjimatkan perbelanjaan minyak dan kurang emisi, tanpa perlu berkorban dari segi prestasi. EnjinEcoBoost Ford yang inovatif ialah tunjang pelan kelestarian Ford dalam usahanya menghasilkan kereta, trak dan SUV yang mampu milik serta menjimatkan sebagaimana yang dimahukan dan dihargai oleh pelanggan. Enjin EcoBoost menawarkan penjimatan bahan api lebih baik dan kurang emisi CO2 berbanding enjin bersesaran lebih besar, tanpa berkompromi dengan prestasi atau pengalaman pemanduannya. 

“Dalam separuh pertama tahun ini, jualan EcoBoost telah melonjak sebanyak 120 peratus di Asia Pasifik,” kata kejuruteraan enjin global, Ford Motor Company, Phil Fabien. “Apabila para pelanggan kami masuk ke dalam kenderaan EcoBoost, mereka sebenarnya boleh menjimatkan wang dan mengurangkan emisi. Populariti kenderaan-kenderaan ini membuktikan betapa Ford bekerja keras untuk menawarkan teknologi-teknologi yang mampu milik dan terbukti kelestariannya ke pasaran Asia Pasifik.” 

Enjin EcoBoost boleh didapati dalam 10 kenderaan di Asia Pasifik, jumlah itu dirancang untuk ditingkatkan kepada 20 menjelang pertengahan dekad ini. Bulan lalu, enjin tiga silinder EcoBoost 1.0 liter dinobatkan sebagai enjin terbaik antarabangsa (International Engine of the Year) untuk tiga kali berturut-turut.  

Enjin EcoBoost Ford merupakan salah satu aspek utama dalam inisiatif kelestarian Ford. Enjin yang ringan dan menggunakan pelbagai aplikasi material ini menjadi satu lagi komponen penting dalam Rangka Tindakan ke arah Kelestarian Ford. Komitmen ini dapat dilihat pada penggunaan besi, aluminium, magnesium berkekuatan tinggi, gentian semula jadi dan material berasaskan nano termaju. 

Mengurangkan berat menerusi penggunaan material ringan, reka bentuk lebih baik dan komponen ringan membolehkan Ford menawarkan pakej yang seimbang dari segi prestasi serta penjimatan bahan api. Sebagai contoh, panel-panel pintu pada Ford Fiesta dan Ford Focus mengandungi 84 hingga 92 peratus gentian kayu kitar semula yang mengurangkan berat pintu sebanyak 15 peratus. 

Baru-baru ini, Ford mendedahkan prototaip kenderaan Lightweight Concept yang mengurangkan berat keseluruhan model Ford Mondeo/Fusion hampir 25 peratus dalam usaha meneroka penyelesaian pengurangan berat pada masa depan untuk kenderaan yang memiliki volum produksi yang tinggi. Material-material termaju telah diaplikasikan ke dalam setiap aspek kenderaan. Ini termasuklah rangkaian kuasa, chasis, badan, bateri dan ruang dalamannya. Hasilnya, jumlah penggunaan material-material termaju yang tinggi dalam sebuah kenderaan. 

“Bermula daripada kejuruteraan realiti maya dan pengilangan hinggalah ciri-ciri bantuan pemandu serta teknologi mapan seperti EcoBoost, ini merupakan masa yang mencabar dan mengujakan untuk semua orang di Ford serta pelanggan. Kami tidak sabar untuk berkongsi apa yang akan ditawarkan kelak,” tambah Holland. 

“Pada acara Innovation for Millions, kami bukan sekadar menunjukkan teknologi terkini dan tercanggih,  malah menetapkan satu visi yang jelas untuk masa depan.” 


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger