Ford Australia Pamer Pusat Realiti Maya Baharu; Kemudahan Baru yang Mampu Memaparkan Persekitaran Imersif Berdefinisi Ultra Tinggi


Ford memperkenalkan makmal penyelaman Persekitaran Maya Ford (Ford immersive Virtual Environment - FiVE) baharunya di  Melbourne. Makmal itu membolehkan para pereka bentuk untuk membina kenderaan maya saiz penuh, beberapa tahun sebelum pelanggan memandunya. 

“Ford ialah antara syarikat terawal yang mengadaptasi teknologi realiti maya seperti ini dalam proses pembangunan kenderaan. Kualiti makmal FiVE baharu kami membuktikan kesungguhan Ford dalam aspek pertukangan dan perincian apabila mereka bentuk kenderaannya,” kata pengurus inovasi digital AP, Peter Bunting. “Teknologi ini merupakan satu elemen penting dalam usaha menawarkan kenderaan yang berkualiti tinggi kepada pelanggan di seluruh dunia.” 

Awal tahun ini, Ford Australia melaksanakan pelaburan pusingan kedua ke atas Pusat Realiti Maya yang telah dilancarkan pada tahun 2012. Proses menaik taraf perkakasan dan perisian makmal secara komprehensif ini turut melibatkan peralihan kepada penggunaan perisian realiti maya foto-realistik (VRED). Di samping mengembangkan peralatan mengesan pergerakan yang sama digunakan dalam industri animasi dan permainan video.  

Makmal FiVE juga menambah ruang fizikalnya dengan signifikan. Ruang baharu itu kini cukup besar untuk menempatkan sebuah kereta maya, sekali gus membolehkan para pereka “berjalan di sekelilingnya” dan merasai sendiri model maya tersebut, sama seperti apa yang dilakukan oleh seorang pelanggan pada sebuah kenderaan di bilik pameran. 

“Adakalanya anda perlu melangkah ke belakang untuk mendapatkan perspektif berbeza, sebagaimana yang dilakukan oleh mana-mana pembeli kereta. Makmal yang lebih besar ini memberikan kami ruang tambahan yang diperlukan untuk memperoleh pengalaman secara keseluruhan. Daripada perincian ruang dalaman sehinggalah gayaan luarannya,” kata Bunting.  

Teknologi baharu, kemampuan baharu
Perisian VRED yang baru memperkemaskan ruang maya imersif secara sepenuhnya dalam bentuk definisi ultra tinggi – empat kali lebih tinggi berbanding resolusi HD. Menggunakan kemudahan komputer yang telah dinaik taraf, fon kepala berdefinisi tinggi baharu akan membawakan pengalaman stereoskopik 3D rendah pendaman secara sepenuhnya kepada pengguna. Seterusnya mencipta dunia maya dengan tahap realisme yang tidak mampu dihasilkan di dalam makmal sebelum ini. 

“Makmal FiVE membolehkan penghasilan model maya dengan perincian ke tahap yang lebih tinggi. Kami boleh melihat ke bahagian dalam struktur kenderaan untuk benar-benar memeriksa bagaimana ia berfungsi secara bersama. Daripada seluruh seni bina sehinggalah kepada sistem mekanikal dan elektrikal,” kata Bunting. “Ini membolehkan kami menggabungkan isu-isu kejuruteraan dengan aspek estetik alam satu setting yang komprehensif.” 

Naik taraf tambahan ke atas makmal FiVE termasuklah: 

Paparan resolusi 4K baharu meningkatkan tahap perincian bagi membolehkan para jurutera memeriksa isu-isu yang timbul sepanjang proses pembangunan kenderaan. Pergerakan sebenar para pereka bentuk dan jurutera ketika memeriksa kenderaan maya ini selari dengan pergerakan maya. Jadi, sistem ini membenarkan para pekerja Ford di seluruh dunia untuk menganalisa kenderaan maya yang sama dengan kejelasan ekstrem pada masa sebenar. Perisian makmal yang telah dinaik taraf ini juga menyediakan satu pengalaman maya yang hampir tidak dapat dibezakan dengan kenderaan sebenar. 

“Ruang Maya Imersif” yang telah ditambah memiliki hampir dua kali ganda peralatan pengesan yang digunakan untuk mengesan pergerakan pengguna pada masa sebenar. Teknologi ini sama seperti yang digunakan dalam industri animasi dan permainan video untuk merakam pergerakan sebenar sebelum menukar pergerakan tersebut ke dalam filem atau permainan video. 

Komputer dan kad grafik yang telah dinaik taraf membantu menghasilkan paparan stereoskopik 3D rendah pendaman melalui satu fon kepala maya yang sofistikated. Ketika pengguna bergerak di dalam dunia maya, mereka boleh berinteraksi dengan kenderaan maya, sama seperti yang mereka lakukan di dunia sebenar. Fon kepala itu juga boleh menyediakan pandangan ke dalam dunia fizikal, maka pengguna boleh melihat badan mereka berhubung dengan data maya.  



Model-model maya dengan hasil dunia sebenar 

Program realiti maya imersif Ford bermula pada tahun 2006 di Detroit dalam usaha menguji reka bentuk berbeza, gayaan dan opsyen ergonomik untuk membuat penambahbaikan ke atas kenderaan-kenderaan baharu sebelum ia sampai ke peringkat penghasilan prototaip fizikal. Sebelum ini, perubahan kecil sekalipun menelan kos yang tinggi dan memakan masa. Pendekatan yang berasaskan kepada ketepatan ini telah menambah baik kualiti dan estetik kenderaan Ford di seluruh rangkaian model globalnya. Ia dapat dilihat dengan jelas pada reka bentuk yang lebih baik dan diteruskan ke peringkat produksi berskala penuh. 

Ford Mustang serba baharu misalnya, para jurutera melihat kenderaan tersebut dalam setting realiti maya. Mereka kemudian mendapat jalan bagaimana untuk mengubah suai kemasan papan pemuka dan memperbaiki aspek ergonomik untuk pemanduan sebelah kiri dan kanan. Dengan membuang kancing yang terdedah, para pereka bentuk boleh menghasilkan ruang dalaman yang lebih halus buatannya serta membawa aspek pertukangan ke tahap seterusnya ke dalam jentera tersebut. 

Sepanjang fasa pembangunan Ford Escort serba baharu dan Ford Everest yang akan datang, pasukan jurutera dan pereka bentuk Ford Asia Pasifik telah menjalankan kajian ergonomik dengan ekstensif bagi memastikan lakaran kawalan dalaman diposisikan secara logik dan mudah digunakan oleh pengguna. Visualisasi imersif serta melihat daripada perspektif pelanggan di tempat duduk pemandu maya membolehkan jurutera dan pereka bentuk mengesahkan serta memastikan bahawa fungsi dan butang kawalan berada di lokasi yang optimal di seluruh kokpit kenderaan.  

Hub serantau One Ford

Rangkaian pusat realiti maya global Ford terdiri daripada dua makmal FiVE yang utama – kemudahan di Australia dan Amerika Syarika – serta kolaborasi pusat-pusat di Jerman, China, India, Brazil dan Mexico. Sehingga kini pada tahun ini, teknologi tersebut telah digunakan untuk mengesahkan lebih daripada 150,000 perincian pada lebih 200 prototaip kenderaan maya yang dibina di makmal-makmal FiVE global. 

“Pelan One Ford kami adalah untuk membangunkan kenderaan yang memiliki tarikan global yang kuat,” kata Bunting. “Teknologi ini membantu mencapai matlamat tersebut dengan membolehkan para pereka bentuk dan jurutera kami berkolaborasi pada masa sebenar dalam skala antarabangsa. Pada masa yang sama meningkatkan kualiti kenderaan.” 

Sistem itu membolehkan para jurutera dan pereka bentuk di seluruh dunia melakukan transisi dengan cekap daripada cadangan reka bentuk maya kepada menilai dan memilih opsyen yang terbaik. Proses ini memastikan semua kenderaan produksi telah dinilai secara terperinci dari segi kegunaan, konsistensi dan kesan reka bentuk yang kini dapat dilihat dalam bentuk bayangan yang sofistikated dan kondisi cahaya di dunia sebenar. 

“Kami mampu bekerja secara maya ke atas produk yang sama, secara bergandingan dengan kakitangan di seluruh dunia,” kata pengarah reka bentuk, Ford Asia Pasifik, Todd Willing. “Dengan menggunakan paparan resolusi 4K di dalam makmal FiVE dan studio reka bentuk, pasukan jurutera dan pereka bentuk bekerjasama di Melbourne serta rakan sejawatan mereka di seluruh dunia demi menambah baik setiap aspek kenderaan Ford.” 

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger