Dicipta Untuk Dunia Urban, Ford EcoSport Serba Baharu Yang Kompak,Cekap Dan Bergaya Kini Tiba di Malaysia


Ford mengalu-alukan ketibaan SUV urban yang sudah lama ditunggu-tunggu, EcoSport serba baharu yang dijangka mendefinisikan segmen kenderaan utiliti sukan di Malaysia. 

EcoSport kini sudah pun berada di semua bilik pameran Ford di seluruh negara dalam dua varian - Trend dan Titanium yang ditawarkan pada harga RM92,888  dan RM103,888.  

“EcoSport serba baharu ialah model terbaharu dalam keluarga segmen B kami yang kian berkembang di peringkat global. Ia direka untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap SUV kompak di Malaysia,” kata Pengarah Urusan, Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.  

“Pelancaran EcoSport serba baharu menjadi satu lagi bukti terhadap strategi transformasi berasaskan kepada produk kami di Malaysia. EcoSport menawarkan para pemandu dengan alternatif kepada kereta kompak yang mampu milik dan penuh inspirasi. Ia menjanjikan keseronokan, kebebasan dan keterujaan tanpa berkompromi dengan aspek keselamatan,” tambah Westerman.

Dibina berdasarkan kepada platform segmen B global Ford seperti Ford Fiesta, EcoSport serba baharu menggabungkan elemen kelincahan, mampu milik dan kecekapan penggunaan bahan api sebuah kereta penumpang kompak dengan fleksibiliti, gaya dan posisi sebuah SUV

Menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan, mudah dikendalikan dan rangkaian ciri pintar, EcoSport sememangnya sebuah kenderaan yang tepat untuk pemanduan di bandar dan laluan-laluan yang mencabar. Ketika ia selesa mengharung air di kawasan banjir dan menghiburkan pemandu dengan pemilihan muzik serta panggilan telefon bebas tangan, SUV kompak ini juga menawarkan tahap keselesaan terbaik dan operasi yang senyap. 

EcoSport serba baharu dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder global Ford bersesaran 1.5 liter twin independent variable camshaft timing (Ti-VCT). Mampu menjana sehingga 110PS dan tork puncak mencecah 142Nm, enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik Ford PowerShift enam kelajuan yang ultra efisien dengan ciri Select Shift untuk menawarkan penjimatan bahan api sehingga  15.4km/L dan emisi karbon dioksida 154g/km.
EcoSport serba baharu Trend didatangkan dalam tiga warna – merah (Candy Red), kelabu (Midnight Sky) dan putih (Frozen White). Sementara varian Titanium pula hadir dalam warna merah (Mars Red), biru (Winning Blue), kelabu (Midnight Sky) dan putih (Frozen White). 

Kemampuan pintar 
EcoSport serba baharu membuatkan pemanduan lebih seronok dan intuitif dengan barisan ciri pintar. Ini termasuklah sistem ketersambungan di dalam kereta yang diaktifkan melalui suara, Ford SYNC. Buat pertama kalinya di Malaysia, Ford SYNC boleh didapati dalam bahasa Mandarin dan Inggeris. Sistem yang memenangi anugerah itu membolehkan pemandu terus memegang stereng dan mata mereka fokus ke atas jalan raya ketika memilih muzik kegemaran atau membuat panggilan telefon menggunakan arahan suara. 

Antara ciri pintar dan memudahkan pengguna ialah lampu yang menyala selama beberapa saat selepas enjin kereta dimatikan (follow-me-home lights), Rear Parking Aid dengan Park Pilot dan lampu pandang belakang anti-silau yang mengelakkan pemandu menjadi silau akibat pancaran cahaya lampu kenderaan di belakang mereka. 

Varian EcoSport Titanium juga hadir bersama sistem kemasukan pintar tanpa kunci (Smart Keyless Entry) dengan butang Push Start Ford, penggilap cermin, lampu utama automatik dan  bumbung suria. 

Terdapat 20 ruang penyimpanan barang yang gabungan semuanya berkapasiti 21 liter, ia termasuklah:   

Ruang penyimpanan hadapan (glove box) yang disejukkan dan boleh menyimpan sehingga enam tin minuman 
Tempat menyimpan cermin mata hitam di bahagian atas konsol 
Satu laci di bawah tempat duduk penumpang hadapan yang cukup besar untuk menyimpan sebuah komputer riba 
Poket pada pintu hadapan yang boleh meletak botol-botol air 1.5 liter dan 600ml 
Poket pada pintu hadapan yang boleh meletak botol-botol 600ml 

Ruang kargo belakangnya juga cukup versatil. Tempat duduk belakang boleh dibaringkan untuk lebih keselesaan atau dilipat sepenuhnya bagi memperoleh ruang kargo tambahan. 

Apabila tempat duduk belakang dilipat ke arah kerusi hadapan, ruang but mencecah 705 liter, cukup besar untuk meletak sebuah mesin basuh. Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 untuk mengangkut objek-objek yang panjang seperti pek perabut, pada masa yang sama boleh membawa penumpang di belakang. 

Kualiti yang berkomunikasi dengan lima deria 
Garis-garis yang beralun, dinamik dan halus pada EcoSport serba baharu benar-benar menjelaskan bahasa rekaan global Ford serta menyerlahkan semangat tenaga dinamik yang sedang beraksi. 

Ruang menyimpan tayar simpanan direka secara eksklusif lengkap bersama penutupnya diletakkan di bahagian belakang sebagai gaya klasik sebuah SUV. Pada masa yang sama menawarkan lebih ruang kargo. Bagi memastikan profail bahagian belakang ini kemas, hendal pintu belakang diletak pada lampu belakang. 

Kabin ini sangat senyap pada kelajuan tinggi. Para jurutera Ford telah berusaha keras untuk mengurangkan bunyi bising, getaran dan kekasaran. Ia mencatat indeks artikulasi paling tinggi dalam kelasnya. Indeks artikulasi berfungsi mengukur semudah mana penumpang boleh berbual di dalam kabin kenderaan. Keadaan ini membolehkan penumpang berbual tanpa perlu menguatkan suara, biarpun ketika kenderaan bergerak pada kelajuan mencecah 120km/j di atas lebuh raya. 

Perhatian istimewa turut diberikan kepada keselesaan penumpang. Sistem pendingin hawanya begitu efektif sehinggakan ia mampu menyejukkan kabin daripada 65 darjah selsius – suhu luar kereta yang terbiar di bawah matahari – kepada suhu bawah 30 darjah selsius dalam tempoh hanya 10 minit. 

Tahap kelegaan tanah setinggi 200 milimeter SUV urban ini juga bermakna para pelanggan tidak perlu bimbang ketika melalui bonggol dan lubang. Dengan kemampuan luar biasa mengharung air setinggi 550 milimeter, pemandu boleh memandu dengan yakin terutama ketika musim tengkujuh.  

Sistem keselamatan dan bantuan pemandu
Dimensi EcoSport serba baharu yang kompak dan stereng bantuan kuasa (EPS) dengan ciri Pull-Drift Compensation membantu pemandu mengurangkan tekanan memandu di bandar. Sama ada untuk memarkir di ruang sempit, menukar haluan di jalan yang sesak atau membuat pusingan U di ruang yang terhad.

Untuk menghilangkan tekanan ketika memandu, EcoSport juga hadir bersama pelbagai sistem bantuan pemandu serta ciri keselamatan. 

Electronic Stability Program (ESP) dengan Traction Control System (TCS) membantu pengguna mengawal kenderaan sepanjang masa, terutama di atas jalan yang licin. Apabila ia mengesan kenderaan mula hilang kawalan, secara automatik ESP akan mengurangkan kuasa enjin dan membrek roda secara individual untuk menstabilkan kenderaan dan memastikannya berada di laluan yang betul. 

Hill Launch Assist pula membantu pemandu supaya dapat memulakan pemanduan dengan sempurna di laluan berbukit sama ada ketika menaiki atau menuruni bukit, dengan cara  memastikan SUV ini tidak tergelongsor selama tiga saat ketika berada di cerun. Ini sekali gus meningkatkan keyakinan pemandu. 

Ciri-ciri lain termasuklah Anti-lock Braking System (ABS), Emergency Brake Assist (EBA), Passive Anti-Theft System (PATS) dengan Pelumpuh Enjin, tali pinggang keledar pra regangan, teknologi Ford BeltMinder dan poin cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak. 

Sebagai tambahan, varian EcoSport Titanium dilengkapi tujuh beg udara sebagai standard – beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan, beg udara sisi, curtain dan pada bahagian lutut pemandu. 

Jaminan lanjutan dan kos pemilikan yang lebih baik 
Sama seperti semua kenderaan penumpang Ford yang ditawarkan di Malaysia, EcoSport serba baharu hadir bersama Pelan Servis Lanjutan (ESP) Ford untuk memberi ketenangan minda kepada pelanggan tanpa kos ekstra. ESP Ford adalah program servis dan penyelenggaraan selama tiga tahun atau jarak perbatuan sejauh 60,000km yang meliputi penggantian alat ganti dan kos buruh secara percuma. 

Sebagai tambahan kepada pemeriksaan rutin dan servis penyelenggaraan, ESP Ford turut merangkumi penggantian beberapa alat ganti lusuh terpilih seperti palam pencucuh, penyerap hentak, tali sawat enjin, pad brek dan penggilap cermin.

Maklumat lanjut mengenai Ford EcoSport serba baharu, sila layari laman web: www.ford.com.my 

# # #

Nota editor:  
1. Harga di atas jalan termasuk insurans untuk pendaftaran peribadi di Semenanjung Malaysia sahaja
2. Semua angka penggunaan bahan api dan emisi CO2 dalam bentuk g/km diambil daripada ujian-ujian yang diluluskan secara rasmi berdasarkan kepada EC Directive 93/116/EC. Data penjimatan bahan api yang dinyatakan adalah berdasarkan kepada Peraturan Penjimatan Bahan Api EU 80/1268/EEC dan mungkin berbeza dengan keputusan ujian-ujian di rantau lain di dunia.



Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger