Ford Catat Rekod Jualan Bulanan Terbaik di Malaysia, Jualan Bulan Julai Melonjak 60 Peratus


Ford hari ini mengumumkan bahawa jualan pada bulan Julai di Malaysia merupakan catatan rekod terbaiknya – sekali gus mengatasi rekod prestasi bulan Jun dengan jualan runcit keseluruhan melonjak sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 1,390 unit.

Rekod tersebut dipacu oleh permintaan kukuh yang berterusan terhadap model-model popular seperti Ranger, Fiesta dan Kuga, selain pertambahan bilik pameran Ford di Malaysia. 

“Ia merupakan keputusan yang hebat untuk memulakan separuh kedua tahun ini. Kami tahu bahawa selain mengutamakan aspek nilai untuk wang, para pemandu di Malaysia juga mahukan ciri-ciri keselamatan dan teknologi pintar yang mendahului segmennya. Dengan rekod jualan bulan ini, kenderaan global Ford jelas memenuhi keperluan ini,” kata Pengarah Urusan, Pasaran Membangun Asia Pasifik dan Malaysia, Ford Motor Company, David Westerman.  

Jualan runcit trak pikap Ranger yang mendefinisikan semula kelasnya meningkat sebanyak 115 peratus pada Julai berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 868 unit. Ini adalah  prestasi bulanan terbaik di Malaysia. Sehingga kini pada tahun ini, Ranger ialah trak pikap  nombor dua paling laris di Malaysia dengan jualan mencecah 53 peratus kepada 4,535 unit.

Semua rangkaian Ranger menampilkan pakej keselamatan yang tiada tandingan di Malaysia. Trak pikap itu kini dilengkapi ciri keselamatan aktif dan pasif tambahan seperti sistem Electronic Stability Program (ESP) serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX pada semua varian Wildtrak, XLT dan XL Double Cab. 

Fiesta baharu mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 158 peratus pada bulan Julai berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 347 unit. Ia disumbang oleh permintaan kukuh terhadap enjin 1.0L EcoBoost Ford yang berprestasi tinggi. Enjin 1.0L EcoBoost yang baru-baru ini dinobatkan sebagai enjin antarabangsa terbaik 2014 (2014 International Engine of the Year) untuk tiga tahun berturut-turut itu menawarkan kuasa dan penjimatan bahan api yang mendahului kelasnya di Malaysia. 

SUV Kuga serba baharu yang bergaya juga menyumbang kepada rekod prestasi jualan bulanan dengan 102 unit pada bulan Julai. Angka itu menjadikan jualan Kuga pada tahun ini sehingga kini sebanyak 580 unit. 

Jualan keseluruhan Ford pada tahun ini sehingga kini telah meningkat sebanyak 30 peratus kepada 7,910 unit.

“Momentum kami pada tahun ini akan menerima satu lagi lonjakan dengan pelancaran SUV EcoSport menjelang akhir bulan ini. Penambahan satu lagi kenderaan global Ford yang mendahului segmennya akan membantu meneruskan kejayaan transformasi berasaskan produk kami di Malaysia,” kata Westerman. 

SUV urban kompak EcoSport serba baharu akan membantu menawarkan segmen kenderaan yang baru di Malaysia. Sebagai satu alternatif kepada kereta kompak, gabungan aspek versatiliti dan ketersambungan pintar pada EcoSport akan menarik minat para pelanggan yang menjalani kehidupan urban mereka sepenuhnya dan gemar meneroka dunia di luar kota.  



Nota Editor: Sumber ranking jualan trak pikap – Persatuan Automotif Malaysia (MAA). 


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger