Perodua Turunkan Sasaran Jualan 2014


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menyemak semula sasaran jualannya dengan menurunkan kepada 193,000 unit tahun ini daripada 197,000 unit yang diunjurkan pada mulanya.
    
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata sasaran yang lebih rendah itu berikutan kelembapan pasaran dan saingan sengit daripada pengeluar kereta bukan nasional di samping kesan daripada semakan semula kadar dasar semalaman oleh Bank Negara Malaysia.
    
Menurutnya, kesan daripada persaingan sengit telah menjejaskan prestasi separuh pertama Perodua di mana jumlah jualannya jatuh 2.5 peratus kepada 94,500 unit berbanding 96,900 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.
    
"Walaupun mengekalkan kedudukan kami (sebagai peneraju pengeluar kereta di Malaysia), terdapat sedikit hakisan penguasaan pasaran kami kepada 28.4 peratus daripada 30.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai pencapaian separuh pertama syarikat berkenaan di sini, hari ini.    
    
Bagaimanapun, katanya, jumlah volum industri untuk enam bulan pertama dijangka tumbuh 6.2 peratus kepada 332,800 unit berbanding 313,500 unit dalam tempoh yang sama pada 2013.
    
Aminar Rashid berkata, enam bulan akan datang dijangka terus mencabar di segi perspektif jualan.
    
Beliau berharap syarikat itu dapat meningkatkan pencapaian dalam sektor perkhidmatan selepas jualan.
    
"Pendapatan daripada kenderaan yang mengunjungi pusat khidmat kami atau 'kemasukan' serta jualan barang ganti telah menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
    
"Hasil daripada kemasukan itu telah bertambah empat peratus kepada RM272 juta berbanding RM261 juta sebelum ini," katanya.
    
Mengenai cukai barang dan perkhidmatan, Aminar Rashid berkata, pengeluar dan pengedar kereta dijangka menerima kesan dalam tahun pertama pelaksanaan regim cukai baharu berkenaan.
    
Bagaimanapun, katanya, Perodua berharap untuk meminimumkan kesan itu melalui pelbagai langkah pengurangan dan kecekapan kos. - Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger