Cadangan Waktu Perjalanan Oleh Pihak PLUS Sempena Aidilfitri 1435H / 2014M


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan membuka sementara beberapa laluan tertentu di lokasi projek Pelebaran Lorong Keempat yang sedang giat dijalankan bagi membolehkan orang ramai menikmati perjalanan yang lebih lancar di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada musim cuti perayaan yang akan datang. 

Laluan-laluan tersebut adalah KM16.3 - KM14.7 (Arah Selatan) di laluan Damansara - Subang, KM13.3 – KM9.65 (Arah Selatan) di laluan Subang - Shah Alam, KM25.0 – KM28.5 (Arah Selatan) di laluan arca DBKL - Jambatan Segambut, KM445.26 – KM447.63 (Arah Selatan) di laluan Persimpangan Bertingkat Rawang - Rawang Selatan, KM282.2 – KM280.4 (Arah Selatan) di laluan Bandar Baru Nilai - Kilang Recron dan KM280.4 – KM268.6 (Arah Selatan) di antara Kilang Recron – Persimpangan Bertingkat Baru Seremban.

Pengarah Urusan PLUS, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid berkata, ”Pembukaan sementara laluan-laluan tertentu tersebut akan berkuatkuasa pada 23 Julai ini. Ia bertujuan membantu perjalanan yang lebih lancar serta menyuraikan trafik di laluan-laluan kritikal di lebuh raya pada musim perayaan yang datang.”

PLUS juga menjangkakan sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada hari-hari puncak iaitu 25, 26 dan 27 Julai serta 1, 2 dan 3 Ogos setiap hari pada musim perayaan yang akan datang. Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 25 peratus berbanding 1.2 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa. 

”Oleh itu, kami menggesa orang ramai digesa supaya merancang perjalanan balik kampung mereka menjelang cuti Hari Raya Aidilfitri yang akan datang berdasarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS,” tambah Noorizah.

Jadual TTA terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu dari Lembah Klang ke negeri-negeri dan bandar-bandar utama di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Ia bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza-plaza tol dan kawasan rehat pada waktu-waktu puncak.

“Jadual TTA kali ini memberi fokus kepada perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan di antara 25 hingga 27 Julai (bagi perjalanan balik kampung) serta di antara 1 hingga 3 Ogos (bagi perjalanan balik kerja). Bagi orang ramai yang menuju ke destinasi-destinasi yang lebih jauh mereka disarankan untuk keluar lebih awal manakala yang hampir dengan Lembah Klang, mereka disarankan supaya memasuki lebuh raya lebih lewat,” kata beliau.

Noorizah ditemui pada majlis taklimat kepada wakil media berhubung persediaan PLUS dalam menghadapi peningkatan trafik yang diadakan di Persada PLUS hari ini.

Selain daripada membuka beberapa laluan kritikal di projek pelebaran lorong keempat serta mengeluarkan jadual TTA, PLUS juga turut mengambil beberapa langkah-langkah tambahan yang baru termasuklah memperkenalkan portal PLUS Trafik untuk menyaluran maklumat trafik terkini serta memperkenalkan rondaan motosikal bagi perkhidmatan bengkel bergerak WOW di beberapa lokasi strategik di lebuh raya.

Langkah-langkah lain termasuklah meningkatkan jumlah kakitangan dan membuka lebih banyak lorong di plaza-plaza tol, meningkatkan jumlah pasukan PLUSRonda dan lain-lain lagi.

CADANGAN WAKTU PERJALANAN OLEH PLUS
[klik untuk besarkan imej]


sumber : Media PLUS
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger