50 Tahun Ford Mustang Dalam Dunia Hiburan Dan Perfileman


Daripada filem James Bond “Goldfinger” sehinggalah filem Steve McQueen “Bullitt” dan sekarang filem “Need for Speed,” Ford Mustang memiliki antara karier hiburan yang paling prolifik menerusi hampir 3,000 penampilan di layar perak dan program TV, selain mempunyai peminat di seluruh dunia.  

Dengan kelayakan sebegitu cemerlang, Mustang mungkin menerima pengiktirafan Hollywood Walk of Fame satu hari nanti. 

Meraikan ulang tahun ke-50 pada tahun ini, Mustang juga merupakan model yang paling kerap diminta perlesenan untuk barangannya berbanding mana-mana jenama Ford. Nama, imej dan kesukaan terhadapnya telah diraikan dalam budaya pop Amerika selama lebih separuh abad merusi penghasilkan pelbagai bentuk barangan cenderahati. Ini termasuklah kemeja-t, topi, jaket, permainan, model, permainan video, jam tangan, barang kemas, beg, malah wangian istimewa. 

Mustang menjadi begitu popular sehinggakan seorang peminat tegarnya telah menggunakan sumber awam untuk menghasilkan satu pangkalan data di laman web. Ia didedikasikan untuk menyenaraikan (katalog) penampilan kereta tersebut. 

“Minat saya terhadap Mustang bermula pada tahun 1966 ketika baru berusia 14 tahun,” kata pengasas dan ahli lembaga pengarah The Icelandic Mustang Club. “Makcik saya membeli sebuah Mustang Fastback 1965 berwarna merah (Poppy Red) dan saya tidak pernah diberi peluang memandunya.”

Thorarensen mula mengumpul pita-pita VHS dan DVD ketika minatnya terhadap Mustang terus berkembang. Pada tahun 2009, beliau menggunakan senarai 300 tajuk filem dan program TV sebagai permulaan dalam menghasilkan sebuah laman web yang komprehensif dan diambil daripada sumber awam dikenali sebagai MustangImdb.com. Kira-kira 100 penyumbang lain telah menambah senarai penampilan Mustang di layar perak menjadi lebih 3,000 tajuk. 

Usaha ini hanya salah satu daripada bukti kuasa Mustang. Ia dapat dilihat melalui jumlah peminat yang besar di seluruh dunia, termasuklah kelab-kelab di kawasan terpencil seperti Iceland, Poland dan New Zealand, di mana Mustang tidak ditawarkan secara rasmi atau langsung tidak dijual di sana. 


Peranan utama

Mustang memulakan kerjaya dalam dunia filem dengan pantas dan tidak pernah menoleh ke belakang. Hanya selepas lapan bulan melakukan debut dalam acara New York World Fair pada tahun 1964, jentera convertible berwarna putih (Wimbeldon White) menjadi pilihan utama untuk seorang pembunuh upahan yang cantik memburu James Bond dalam filem “Goldfinger.” Beberapa tahun kemudian, Bond sendiri memandu sebuah Mustang ketika berlumba di jalan-jalan di Vegas dalam filem “Diamonds are Forever.”

Pada tahun 1968, Mustang sudah pun menjadi ikon di atas jalan raya. Namun, mendiang Steve McQueen telah menukar kereta itu menjadi bintang filem apabila ia dikenali dengan adegan kejar mengejar kereta terbaik yang pernah dirakamkan, klimaks selama sembilan minit dalam filem “Bullitt.” Empat puluh tahun kemudian, adegan sama telah dibuat semula ke atas layar lebih kecil untuk siri terakhir “Alcatraz.”

Filem “Gone in Sixty Seconds” yang dibuat semula pada tahun 2000 menyaksikan model ikonik ini ditampilkan dalam bentuk Eleanor, Mustang tahun 1967 berwarna perak dan hitam yang dipandu oleh Nicolas Cage. Baru-baru ini, kereta itu dijual dalam satu lelongan pada harga lebih $1 juta dan menyebabkan banyak replikanya muncul. 

Pada tahun 2007, interpretasi moden model Shelby Mustang dengan blok besar tahun 1960-an  dihasilkan. Model Mustang Shelby GT500 tahun 2008 membantu Will Smith melawan zombie dalam filem “I Am Legend.”


Kembali ke layar perak pada tahun 2014 

Baru-baru ini, Mustang yang meraikan ulang tahun ke-50 kembali semula ke layar perak menerusi filem terbitan DreamWorks Studios, “Need for Speed”. Filem itu diinspirasikan daripada siri permainan video yang telah lama wujud terbitan Electronic Arts (EA). Bintang filem Aaron Paul (“Breaking Bad”), ditemani oleh sebuah Mustang yang telah diubah suai dan menjadi kereta hero. 

“Ketika kita menyaksikannya sebanyak beratus-ratus kali selama beberapa tahun –daripada ‘Bullitt’ kepada ‘Gone in Sixty Seconds’ – Mustang teah memainkan peranannya dengan sempurna. Ia benar-benar sebuah kereta yang mewakili budaya rakyat Amerika pada cara yang terbaik. Sebab itulah kami memilihnya sebagai kereta Toby dalam filem ‘Need for Speed,’” kata pengara filem tersebut, Scott Waugh. 

Dalam “Need for Speed”, Mustang tampil dengan badan lebar yang direka khas, rim aloi 20 inci unik dan ruang pengambilan udara lebih besar untuk enjin supercharged V8 yang diletakkan di bawah hud klasik Mustang. 

Para peminat juga boleh menikmati pemanduan Ford Mustang serba baharu dalam permainan video  “Need for Speed Rivals” keluaran EA. Mereka boleh memilih lima rekaan berbeza untuk memberikan Mustang masing-masing penampilan yang istimewa. 


50 tahun Mustang

Bagi kebanyakan peminat reka bentuk automotif, Ford Mustang vintaj sudah lama dianggap sebagai satu hasil seni yang hebat.  Kini, kereta ikonik itu telah menjadi satu seni halus. Sebagai sebahagian daripada sambutan 50 tahun Mustang, artis yang berpangkalan di UK, Robin Bark telah diberi lesen oleh pihak Ford Motor Company untuk menukar Mustang menjadi satu arca edisi terhad yang boleh dijadikan koleksi. 

Bark membentuk model asal menggunakan tanah liat. Bentuk asas itu kemudian diubah menjadi versi resin yang digilap untuk melihat bagaimana cahaya boleh direfleksikan daripada kontur-kontur tubuhnya. Resin itu kemudian dijadikan corak untuk dijadikan prototaip aluminium. Bark berpegang kepada reka bentuk ikonik Mustang. Pada masa sama menggunakan sedikit perincian yang boleh, bagi mengelak daripada garis-garis dan ciri-ciri yang mengganggu bermula dari bentuk asas kereta lagi. “Saya cuba untuk menyerlahkan kisahnya ketika ia terbias daripada cahaya,” jelasnya.  

Kombinasi unik gaya, prestasi dan mampu milik pada Mustang membentuk satu kelas baharu dalam segmen kereta yang sporty dan ia telah menerajui segmen tersebut sejak dari mula lagi. 

Sejak 50 tahun lalu, lebih 9 juta unit Mustang telah berjaya dijual di seluruh dunia. Dari litar lumba ke layar perak dan radio, Mustang terus kekal menjadi sebahagian daripada budaya pop. 

Ford Mustang Dalam Filem Terbaru Need For Speed


Sejarah Ford Mustang Dalam Dunia Perfileman


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger