RM1.3b 'dipulangkan' Kepada Pengguna


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengembalikan kira-kira 41 peratus atau RM1.3 bilion daripada kutipan tol di Lebuhraya Utara Selatan setiap tahun kepada pengguna dalam bentuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan di sepanjang lebuh raya tersebut.

Kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf itu tidak terhad kepada penurapan permukaan jalan semata-mata tetapi turut membabitkan pelbagai kemudahan lain sepanjang 986 kilometer lebuh raya tersebut dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Johor Bahru, Johor.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Noorizah Abd. Hamid berkata, ini membuktikan bahawa PLUS sentiasa mengutamakan kepentingan dan keselesaan penggunanya dengan sebahagian besar daripada kutipan tol digunakan semula untuk memastikan khidmat yang diberikan kepada para pengguna lebih raya itu berada pada tahan terbaik.

“Bagi setiap ringgit tol yang kita kutip, 22 sen digunakan untuk penyelenggaraan dan operasi, 19 sen bagi kerja-kerja naik taraf dan pembaikan, 48 sen untuk bayar balik pinjaman dan hanya 11 sen sahaja akan dikembalikan kepada pemegang saham," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Katanya, angka yang diberikan itu adalah secara purata yang hanya membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf biasa setiap tahun.

Menurut beliau, sekiranya berlaku kerja-kerja naik taraf yang besar, maka kosnya lebih tinggi.

Contohnya kata beliau, kerja-kerja pembinaan lorong keempat dari Shah Alam ke Rawang dan Jalan Duta serta dari Nilai Utara ke persimpangan Port Dickson yang sedang dilaksanakan membabitkan kos RM1.6 bilion yang memerlukan peruntukan tambahan.

“Kos pembinaan lorong keempat ini adalah kos di luar kebiasaan dan pembiayaannya adalah daripada kutipan tol. Memang kalau mahu ambil terus duit daripada kutipan tol untuk pembinaan lorong keempat ini tidak cukup. Jadi, kita buat pinjaman dan kita gunakan duit daripada kutipan tol ini untuk membayar balik pinjaman tersebut," jelas Noorizah.

Beliau memberitahu, jumlah tol yang dikutip oleh PLUS setiap tahun berjumlah RM3.2 bilion.

“Daripada jumlah ini dan berdasarkan bagaimana setiap ringgit yang dikutip itu kita gunakan, maka kita boleh buat anggaran berapa nilai tahunan yang dikembalikan kepada pengguna dalam bentuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf," katanya.

Selain itu katanya, setiap kali lorong di lebuh raya PLUS ditambah, tidak bermakna aliran trafik dan kutipan tol meningkat secara mendadak.

“Cuma, apabila kita menyediakan lorong tambahan, kita menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, Jika dengan dua lorong pengguna boleh bawa kereta pada kelajuan 60 kilometer sejam, tetapi apabila kira tambah lagi satu lorong ia mungkin akan meningkat kepada 80 kilometer sejam.

“Lagi pula, Lebuhraya Utara Selatan adalah lebuh raya yang sudah matang yang mana ia hanya bergantung kepada pengguna yang sama. Orang tengok pada musim perayaan pengguna ramai hingga sesak, tetapi sebenarnya mereka adalah pengguna yang sama. Cuma, pada musim perayaan mereka menggunakan lebuh raya secara serentak yang menyebabkan kesesakan," jelas beliau.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger