Isu Cermin Gelap Kenderaan


Kadar ketelusan cahaya (VLT) untuk cermin penumpang belakang dan bahagian belakang kenderaan dikurangkan sehingga 25 peratus berbanding 50 peratus sebelum ini.

Ia termasuk lima peratus toleransi atau kelonggaran diberikan untuk penguatkuasaan dengan mengambil kira ketidaktepatan alat pengukur ketelusan cahaya. 

Bagaimanapun, VLT 70 peratus untuk cermin depan dan 50 peratus untuk cermin sisi pemandu dikekalkan. Peraturan baru itu dijangka berkuat kuasa bulan ini selepas mendapat persetujuan pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. 

Timbalannya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata keputusan meminda peraturan itu dirumuskan dalam bengkel kajian semula peraturan penggunaan cermin gelap kenderaan selama dua hari yang berakhir semalam.

“VLT untuk cermin sisi penumpang belakang dan cermin belakang diturunkan kepada 30 peratus, namun, penguatkuasaan akan beri toleransi lima peratus lagi kerana mengambil kira alat yang mungkin tidak tepat sepenuhnya.

“Esok (hari ini) saya akan jumpa pemangku Menteri Pengangkutan dan jika beliau setuju untuk luluskan, peraturan baharu ini akan berkuat kuasa serta-merta.

“Mungkin penguatkuasaan oleh polis yang dijangka 16 Jun ini akan mengguna pakai peraturan baharu. Ia bergantung kepada menteri sama ada terus lulus atau mahu bawa ke Kabinet,” katanya. 


Maklum balas baik

Beliau bagaimanapun mengakui rumusan itu sudah sampai ke pengetahuan Hishammuddin dan secara dasarnya mendapat maklum balas baik untuk diluluskan.

Bengkel di Shah Alam itu dihadiri pelbagai agensi kerajaan dan persatuan berkaitan kenderaan serta pengguna seperti polis, JPJ, Jabatan Keselamatan Jalan Raya, Persatuan Pengimport Kenderaan Melayu (PEKEMA), Yayasan Pencegahan Jenayah dan Kelab MPV Malaysia.

Ia susulan laporan BH mengenai peraturan penggunaan cermin gelap yang digunakan sekarang dianggap orang orang ramai sebagai lapuk dan perlu dipinda.

Sementara itu, Presiden PEKEMA, Datuk Zainuddin Abdul Rahman, berkata persatuan menerima keputusan itu, namun meminta ruang untuk dibenarkan rayuan bagi situasi khas kereta import yang datang dengan cermin sedia ada lebih gelap.

Presiden Kelab Pemilik MPV, Mohd Faizal Ismail, pula berkata keputusan pindaan itu melegakan ramai pemilik kenderaan MPV yang selama ini berdepan risiko keselamatan barangan.

“Kereta MPV tak ada but. Pengurangan VLT akan bolehkan pemilik MPV menggelapkan lagi bahagian belakang yang dilihat paling perlu diberi perhatian. Kebanyakan negara tidak menetapkan had untuk cermin belakang dan penumpang,” katanya.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger