Harga Kereta Turun Hingga 29 Peratus Setakat April 2014


Harga beberapa model kenderaan penumpang di Malaysia mencatat penurunan antara sembilan hingga 29 peratus setakat bulan April tahun ini.

Arah aliran itu meletakkan rancangan mengurangkan harga kenderaan penumpang di negara ini kepada hingga 25 peratus menjelang awal 2018 pada landasan tepat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari, berkata penurunan harga dianggarkan merangkumi hingga 50 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan penumpang di Malaysia pada tahun ini. 

Beliau berkata, usaha syarikat automotif untuk meningkatkan daya saing masing-masing bagi merebut penguasaan pasaran membolehkan harga kenderaan penumpang mula mencatat penurunan sejak tahun lalu.

“Gambaran lebih besar dari segi penurunan harga kenderaan ialah menerusi insentif khusus yang ditetapkan di bawah Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang diumumkan pada awal tahun ini,” katanya pada program bual bicara bersama media di ibu pejabat baharu MAI di Cyberjaya, hari ini. 

Mohamad Madani berkata, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan pula membolehkan harga kenderaan penumpang terus diturunkan.

“GST pada kadar enam peratus akan menggantikan cukai jualan 10 peratus yang dikenakan sekarang, maka harga kenderaan akan berkurangan sebanyak empat peratus lagi bermula tahun depan,” katanya. 
Tahun lalu purata penurunan harga kenderaan penumpang adalah sebanyak 4.97 peratus, menghampiri sasaran penurunan lima peratus setahun antara tahun 2013 hingga 2018 seperti yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

Purata berkenaan adalah berdasarkan analisis MAI ke atas 11 jenama, 29 model dan 58 varian kenderaan penumpang yang dilancarkan tahun lalu.

“Angka itu merangkumi 60 peratus daripada jualan keseluruhan kenderaan pada tahun lalu. Kami tidak mengambil kira kenderaan yang dijual pada harga yang dikenakan diskaun atau promosi, sebaliknya kenderaan yang mengalami penurunan harga yang tulen serta kekal,” katanya.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger