Nissan Sylphy Serba Baharu 2014


Nissan Sylphy serba baharu akhirnya dilancarkan di pasaran Malaysia beberapa hari yang lepas, ditawarkan dalam dua varian iaitu Sylphy 1.8E dan Sylphy 1.8VL. Kedua-dua varian berkenaan dilengkapi enjin bersesaran 1.8 liter yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 131PS @ 6,000rpm dan tork maksimum 174Nm @ 3,600rpm.

Enjin moden dengan kod MRA8DE tersebut kemudiannya dipadankan transmisi XTRONIC CVT (Continuously Variable Transmission) yang lancar dan senyap. Sistem suspensi Sylphy serba baharu dibahagian depan merupakan dari jenis ‘MacPherson Strut with Stabilizer bar’, manakala di bahagian belakangnya ialah ‘Torsion Beam with Stabilizer bar’.

Bagi Nissan Sylphy 1.8E, ianya didatangkan bersama-sama rim aloi dalam saiz 16 inci bersama-sama tayar 195 / 60 R16, sementara varian 1.8VL ditawarkan rim aloi 17 inci dengan tayar dalam siri 205 / 50 R17. Keseluruhannya, sedan segmen C dengan lima tempat duduk itu mempunyai ukuran panjang 4,615mm, lebar 1,760mm dan tinggi 1,495mm. Jarak rodanya pula ialah 2,700mm. Sylphy serba baharu dikatakan mempunyai ruang but belakang yang luas pada ukuran 510 liter.

Spesifikasi keselamatan yang dibekalkan terhadap Nissan Sylphy serba baharu boleh dikatakan serba lengkap apabila ianya dilengkapi antaranya enam beg udara (Driver & Passenger, Driver & Passenger Seats, Full-length curtain), sistem brek ABS (Power Assisted with Anti-lock Braking System), EBD (Electronic Brake-force Distribution) dan BA (Brake Assist). Juga terdapat ‘Vehicle Dynamic Control’ dan ‘Traction Control System’, di samping keempat-keempat rodanya dipasangkan brek jenis cakera.

Untuk makluman, Sylphy serba baharu yang dilancarkan untuk pasaran di Malaysia ini merupakan generasi yang ketiga. Walaupun kehadirannya di pasaran Malaysia agak terlewat berbanding pasaran global lain, model berkenaan dijangka akan memberikan saingan sengit kepada model-model lain sekelas dengannya seperti Honda Civic, Toyota Corolla, Kia Cerato, Hyundai Elantra, Peugeot 408, Proton Preve, Ford Focus dan lain-lain.

Nissan Sylphy serba baharu diimport daripada Thailand sebagai model siap dipasang (CBU), ditawarkan pada harga RM111,900.00 untuk varian 1,8E, sementara varian teratas 1.8VL berharga RM121,900.00 (harga di atas jalan tidak termasuk insuran). Jaminan yang diberikan oleh ETCM ialah selama 3 tahun atau 100,000 km jarak perbatuan.

sumber keretamoto
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger