Renault Clio RS 200 EDC Dilancar


Selepas penerimaan baik Megane RS oleh penggemar permotoran, TC Euro Cars Sdn Bhd melancarkan model kompak berprestasi dikenali sebagai Renault Clio RS 200 EDC sambil disertai oleh pemandu F1 Kumpulan Caterham, Kamui Kobayashi.

EDC merujuk kepada transmisi automatik klac berkembar yang digabungkan dengan enjin 1.6 liter turbo,menjana kuasa sebanyak 200hp dan 240Nm tork. Semasa majlis pelancarannya, kenderaan ini ditekankan sebagai sebuah kenderaan yang serba boleh; terutamanya disebabkan oleh dua perkara iaitu pilihan tiga mod pemanduan dan casis standard (versi lebih tinggi menggunakan casis Cup).

Setiap kali mod ditukar, pengawal komputer akan melaras sistem penyampaian kuasa, ‘rasa’ pedal, bunyi enjin, penukaran gear, tindak balas stereng dan pemasukan sistem kawalan cengkaman ESC dan ASR.

Mod ‘normal’ untuk pemanduan biasa, ‘Sport’ untuk lebih keseronokan sementara ‘Race’ adalah yang paling agresif.

Walaupun tidak menggunakan casis ‘Cup’ yang lebih ‘keras’, Clio RS 200 EDC tetap berkemampuan untuk menahan tekanan pemanduan yang agresif, mencatat masa hanya kurang lima saat untuk satu pusingan di dalam Litar Antarabangsa Sepang berbanding Megane RS. Selain itu, ini juga boleh menjadikannya sebuah kenderaan harian.

Dengan membawa nama RS yang bermaksud Renault Sport, Clio RS 200 EDC yang diimport terus dari Dieppe, Normandy, Perancis ini menampilkan penggunaan kelengkapan yang berciri sport, seperti pada bahagian stereng, tombol gear, tempat duduk ‘bucket’, cakera brek hadapan 320mm dan skrin paparan informasi R.S Monitor 2.0.

Melalui skrin ini, pemandu dapat melihat informasi penting, terutamanya bagi pemandu yang ingin mengetahui operasi kenderaan dan prestasi di dalam trek, seperti tarikan G, kuasa dan tork, suhu air, suhu udara yang masuk, tekanan brek, tekanan turbo, bukaan injap ‘throttle’, belokan stereng, suhu minyak transmisi, klac, sambungan GPS, rekod masa di dalam trek dan pelbagai lagi.

Renault Clio RS 200 EDC dijual pada harga RM168,270 (tanpa insurans). Untuk tahun ini, TC Euro Cars Sdn Bhd mempunyai perancangan untuk melancarkan empat model baharu dan dua model ‘facelift’. Clio RS 200 EDC ini adalah model baharu pertama yang dilancarkan tahun ini.

INFO

0-100km/j – 6.7 saat, Kelajuan maksimum – 230km/j

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ

 
 
 
 


 sumber : BH Auto

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger