Tol Tidak Naik Tahun Ini


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tiada kenaikan tol untuk tahun ini dan kerajaan perlu menyediakan RM400 juta sebagai bayaran pampasan kepada syarikat konsesi yang terlibat. Timbalan perdana menteri berkata pampasan itu adalah untuk syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang yang sepatutnya menaikkan kadar tol.

Beliau memberitahu sidang media mengenai keputusan itu selepas mesyuarat jawatankuasa khas bagi menangani masalah kos sara hidup, yang dipengerusikan beliau di sini hari ini. Muhyiddin berkata banyak lagi syarikat konsesi termasuk Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) tidak menaikkan tol.

"... macam PLUS tak naik, dan banyak lagi syarikat konsesi sekarang ini, ada 29 syarikat konsesi semuanya, cuma yang terlibat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, kalau tak silap saya ada sembilan syarikat konsesi," katanya.

Selain itu menurutnya jawatankuasa berkenaan juga bersetuju untuk meminta Kementerian Kerja Raya membuat kajian menyeluruh berhubung konsesi tol sedia ada dalam konteks jangka panjang, sekiranya ada cara-cara yang boleh dilakukan untuk berunding semula dengan pemilik konsesi berkaitan kutipan tol.

".. kalau ada terma-terma yang boleh dipersetujui bersama, termasuk untuk lanjutkan tempoh konsesi sebagai satu cara menentukan kadar tol tidak dinaikkan di masa hadapan, ini boleh dibincangkan.

"Jawatankuasa hari ini bersetuju supaya Kementerian Kerja Raya mengadakan perbincangan awal dengan semua syarikat konsesi untuk hasrat itu," katanya.

Merujuk kepada isu berkaitan tambang pula, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu memahami banyak pengusaha memohon supaya kadar tambang dinaikkan, namun ia menetapkan supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengemukakan apa jua ketetapan yang diambil berhubung tambang kepada pihak mereka (jawatankuasa khas), sebelum sebarang tindakan diambil mengenainya.

sumber Sinar Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger