Kisah Benar : Proton Preve Yang Mengalami Kemalangan

Dipetik dari BH Auto :

[klik untuk besarkan imej]

Keselamatan antara perkara yang paling utama selalu bermain difikiran sesiapa pun ketika ingin membeli kereta. Tetapi, bagaimana untuk memastikannya? Seorang jururawat Hospital Serdang, Afill Amalina Lokman, 26 tahun, mampu untuk memahami dan menimba pengalaman berguna dari satu insiden sebenar.

Amalina memandu Proton Preve berwarna perak dari Terengganu menuju Kuala Lumpur pada awal Januari lalu, sebelum dia gagal mengawal kenderaan pada pukul 6.30 pagi. Kereta yang dipandu Amalina terbalik sebanyak tiga kali dan menghancurkan hampir keseluruhan bahagian luaran kereta. Juga, enjin keretanya ‘ditolak’ keluar dari bahagian bonet hadapan.

“Apa yang saya ingat hanyalah ketika kereta mula hilang kawalan dan saya cuba mengawal kenderaan melalui stereng. Apa yang berlaku sedetik selepas itu ialah kereta mula terbalik,” ujar Amalina.

Selepas melalui pengalaman yang mengerikan itu dan kereta berhenti berpusing, Amalina masih dapat membuka pintu kereta dan melangkah keluar dengan selamat. Saat itu barulah dia sedari yang beliau terlibat dalam kemalangan besar.

Apabila berlakunya kemalangan serius seperti ini di Malaysia, persoalan biasa yang berlegar adalah; “Adakah pemandunya mati?” atau “Berapa teruk kecederaan yang dialami pemandu?”

Tetapi, sesuatu yang menakjubkan bagi kes Amalina; dia sekadar mengalami calar pada jarinya dan doktor yang merawat beliau memberitahu bahawa tiada kecederaan dalaman yang dialami dan dia juga tidak mengalami sebarang impak gegaran. Amalina hanya perlu berehat secukupnya untuk kembali pulih.

Preve terbalik dan enjin ‘ditendang’ keluar telah menjadi berita hangat dalam ruangan media sosial. Dan mereka yang kurang mahir dan maklumat terus membuat andaian bahawa, “Proton tidak memasang bolt enjin ke casis dengan betul.”

Buat mereka yang memahami fungsi dan spesifikasi ujian NCAP, pastinya memiliki penjelasan mengapa enjin ditendang keluar dari ruangnya di bawah hud depan.

Mendapatkan penjelasan Proton mengenai insiden ini dan juga aspek keselamatan bagi Preve, Proton menjelaskan bahawa terdapat dua aspek keselamatan kereta yang perli difahami, iaitu keselamatan aktif dan keselamatan pasif.

Keselamatan aktif adalah kemampuan kereta untuk mengelakkan dari kemalangan, sebagai contoh dengan adanya ciri sistem anti-lock brakes (ABS). Keselamatan pasif pula ialah kemampuan kereta melindungi penumpang daripada kecederaan terus ketika terlibat di dalam kemalangan, ini termasuk penggunaan beg udara dan ketahanan kenderaan.

‘Hot Press Forming’

Ketua Pegawai Operasi Strategik dan Pengurusan Projek Proton, Abdul Rashid Musa menjelaskan; “Semasa merekabentuk Preve dan Suprima S, tiga perkara dipertimbangkan serius: keselamatan, prestasi dan pengendalian. Keselamatan sentiasa diutamakan, tambahan pula komitmen dan keperluan untuk mengaplikasi Hot Press Forming (HPF) untuk kenderaan masa kini dan akan datang.”

Dalam bahasa mudah, HPF merupakan kaedah bagi menghasilkan keluli ringan yang berketeguhan tinggi, digunakan untuk bahagian rangka kenderaan. Ia melibatkan proses pemanasan keluli pada suhu tinggi dengan proses penyejukan pantas. Kemudian, dengan bahan kimia yang digelar boron, keluli yang dihasilkan daripada proses ini akan menjadi lebih kukuh.

Ini menjelaskan mengapa Amalina mampu membuka pintu kereta walaupun selepas ia terbalik dan berpusing beberapa kali. Kita membaca banyak aduan kebanyakkan kereta yang terlibat dengan kemalangan teruk seperti ini tidak dapat dibuka pintunya dan menyebabkan anggota penyelamat perlu memotong pintu kereta.

Enjin dilucut

“Enjin Preve pula direka sedemikian untuk membolehkannya ‘ditendang’ keluar apabila berlaku impak tinggi, dan bukannya teralih ke bahagian kabin dan menghimpit kaki pemandu,” kata Rashid. Penjelasan ini antara lain membuktikan bagaimana Preve memperolehi kedudukan 5-bintang Australia New Car Assesment Programme (NCAP).

Atas alasan mengapa Proton memilih Australia NCAP dan tidak ASEAN NCAP, Rashid menjelaskan; “Australia NCAP ada ujian tambahan yang tidak terdapat di dalam ASEAN NCAP.”

Proton membangunkan kereta itu pada tahap keselamatan yang terbaik, dan Amalina, tidak gentar malah memilih untuk terus berdiri di samping Preve. Ketika ditanya sama ada akan menukar kenderaan lain menggantikan Preve selepas ini, Amalina menjawab; “Pastinya saya akan kekal dengan Preve, cuma mungkin warnanya merah kali ini.” - Adam Aubrey


Share this article :

+ comments + 2 comments

Tanpa Nama
6 Februari 2014 11:23 PTG

ALHAMDULILAH CAYALAH PROTON

Tanpa Nama
7 Mac 2014 11:07 PG

PANJANG UMUR KAK NI..

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger