Sektor Automotif Catat Jurang Imbangan Dagangan Negatif


Walaupun Malaysia merupakan perintis kepada industri automotif di rantau ini, namun jurang imbangan dagangan negatif sektor berkenaan terus meningkat setiap tahun. Menurut rekod, kadar imbangan dagangan negatif negara terus meningkat setiap tahun sejak 2009 dan telah mencecah perbezaan sehingga RM16 bilion pada 2012. 

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, jika situasi berkenaan berterus, ini tidak baik kepada kestabilan ekonomi negara dan berisiko tinggi apabila berdepan dengan krisis ekonomi dunia. Menurut beliau, Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang dilancarkan semalam dilihat sebagai pelan terbaik menyelesaikan masalah berkenaan dengan menumpukan aspek pembangunan pasaran automotif tempatan untuk pasaran eksport. 

"Sebelum DAN 2014 diumumkan secara rasmi, kerajaan telah pun melaksanakan dasar berkenaan secara berperingkat-peringkat dengan Honda dan Mazda menjadi contoh terbaik melalui pelaburan menghasilkan kenderaan cekap tenaga (EEV) untuk pasaran serantau. "Hasil awal mula dirasai tahun lalu apabila rekod imbangan dagangan negara mula mencatatkan pertumbuhan yang baik pada Januari hingga Oktober dengan mencatatkan eksport sebanyak RM4.06 bilion manakala import sebanyak RM10.43 bilion," katanya kepada Utusan Malaysia. 

Madani berkata, dasar baharu berkenaan dijangka menarik pelaburan beberapa lagi syarikat pengeluar kereta baharu dan sedia ada melalui insentif EEV yang ditawarkan kerajaan. Dalam Dan 2014, kerajaan menyasarkan sektor automotif tempatan menyumbang sebanyak 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2020 dengan eksport sumbangan yang baik. 

Kerajaan turut menyasarkan jumlah keluaran kenderaan (TIV) pada 2020 akan mencecah 1.35 juta buah berbanding lebih 652,000 buah tahun lalu dan mewujudkan 150,000 pekerjaan baharu. Kerajaan turut menyasarkan untuk mengeksport 200,000 buah kenderaan dan sekali gus meningkatkan eksport sektor berkenaan kepada RM10 bilion pada 2020 berbanding RM5.3 bilion untuk jangkaan 2013.

sumber Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger