NAP 2014 : Peluang PROTON, PERODUA Eksport CKD



Kuala Lumpur: Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 akan membuka peluang kepada pengeluar kereta nasional untuk memperkenalkan program pemasangan tempatan (CKD) kenderaannya di luar negara. 


Ia sekali gus berpotensi menyediakan peluang perniagaan kepada vendor meneroka dan mengembangkan pasaran eksport komponen dan alat ganti automotif yang dihasilkan secara lebih berkesan dan tersusun pada peringkat global. 


Pengerusi Eksekutif PROTON Holdings Bhd, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, berkata pengumuman DAN 2014 semalam yang bertujuan memastikan kemampanan industri automotif negara, dilihat akan membantu menggalakkan eksport dalam kalangan industri automotif tempatan, khususnya PROTON. 




Iktiraf jenama tempatan 

Menurut beliau, ia bukan saja dapat meningkatkan akses industri automotif tempatan ke pasaran antarabangsa, malah turut menggalakkan pengiktirafan produk dan jenama tempatan pada peringkat dunia. 

Sejajar dengan strategi kami untuk meraih manfaat peluang pengembangan di luar negara, PROTON akan terus membangun dan menghasilkan produk dengan ciri yang memenuhi piawaian dan keperluan antarabangsa. 

Bagaimanapun, untuk menembusi pasaran eksport, PROTON perlu melaksanakan strategi secara berperingkat iaitu menerusi eksport CBU secara langsung dan program CKD di negara terpilih. 
Justeru, seperti yang diamalkan pengeluar peralatan tulen (OEM) lain, PROTON akan membawa bersama vendor tempatan menyertai kami dan seterusnya memperoleh manfaat daripada program eksport PROTON, katanya mengulas mengenai DAN. 

Mohd Khamil berkata, meskipun akan melaksanakan program CKD itu, syarikat tetap akan mengeksport kenderaan model pemasangan sepenuhnya (CBU) ke luar negara seperti yang dilaksanakan pengeluar kereta terkemuka dunia lain di negara ini. 

Sementara itu, Mohd Khamil berkata, PROTON sedang menilai untuk terbabit serta membangunkan kenderaan cekap tenaga (EEV). 

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pula sedang meninjau untuk memperkasakan lagi teknologi EEV dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata pihaknya perlu berbincang mengenai pelaburan dalam segmen EEV terlebih dulu memandangkan DAN 2014 baharu saja diumumkan semalam. 

Kaji segmen EEV 

Tentunya banyak pertemuan dengan kerajaan dilakukan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Institut Automotif Malaysia (MAI) dalam usaha memahami definisi sebenar EEV. 

Kami harap keputusan kami ini terbukti betul, katanya selepas pengumuman dasar yang disemak semula itu oleh MITI. 

Aminar Rashid berkata, antara sebab syarikat itu belum meneroka segmen kereta hibrid dan elektrik kerana kos pelaburan tinggi yang akan meningkatkan harga kereta, sedangkan mandat syarikat itu adalah mengeluarkan kereta mampu milik yang berkualiti.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger