NAP 2014 : Tiada Kenaikan Duti Eksais


Tiada kenaikan kadar duti eksais negara bagi kenderaan import di bawah Dasar Automotif Negara (DAN 2014). Malah kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari, kadar duti eksais kenderaan kekal rendah di negara ini dan dijangka terus membantu pertumbuhan industri automotif yang lebih kompetitif. 

Menurutnya, kadar duti eksais pada waktu ini adalah di antara 30 peratus sehingga 50 peratus bagi pemasangan tempatan (CKD) berbanding 65 peratus sehingga 105 peratus untuk diimport sepenuhnya (CBU). Berdasarkan analisis MAI ujar beliau, ada beberapa syarikat pengeluar kenderaan yang dikenakan duti eksais yang lebih rendah daripada 30 peratus sehingga 50 peratus ini, sekali gus memberi keuntungan maksimum kepada mereka. 

"Jumlah kutipan duti eksais juga tetap konsisten dalam beberapa tahun ini iaitu di antara RM7 bilion sehingga RM9 bilion, setahun manakala nilai jualan kenderaan keseluruhan di Malaysia pada tahun lalu kira-kira RM85 bilion sehingga RM90 bilion. "Jika dibahagikan nilai jualan kenderaan pada tahun lalu dengan nilai kutipan duti eksais ini, purata kadar kutipan cukai atau duti eksais yang dikenakan kerajaan kepada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan sebenarnya hanyalah kira-kira 10 peratus. 

Mohamad Madani berkata, setiap kutipan duti eksais akan memberi perolehan kepada kerajaan, malah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam pengumuman DAN 2014 baru-baru ini pernah berjanji bahawa jika situasi fiskal negara sihat, kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengurangkan duti eksais. 

Menurutnya, kadar duti eksais juga dikenakan berbeza-beza mengikut kapasiti enjin kenderaan yang dibawa masuk tetapi kadar duti itu masih lagi rendah. Katanya, negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia telah mengenakan duti eksais sekitar 20 peratus sehingga 40 peratus bagi setiap unit kenderaan yang dibawa masuk ke negara masing-masing. 

Mengenai pemansuhan AP terbuka, beliau berkata, kerajaan masih mengkaji impak kepada industri automotif dan kepada golongan Bumiputera. Setakat ini ujarnya, terdapat empat impak kepada industri jika dihapuskan AP terbuka iaitu mewujudkan semula monopoli pasaran, menjejaskan perniagaan kereta terpakai, mengganggu imbangan tunai bank serta menjejaskan 100,000 pekerja dalam industri kereta terpakai.

sumber Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger