NAP 2014 : Malaysia Mahu Jadi Hab EEV ASEAN


Kerajaan hari ini mengumumkan Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang menyasarkan industri automotif Malaysia ke arah hab kenderaan cekap tenaga (EEV) serantau. Bagi menjadikannya realiti, kerajaan di dalam dasar itu turut memperuntukkan sebanyak RM2 bilion sebagai pinjaman mudah untuk pemain industri mewujudkan hab EEV di Malaysia. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, industri automotif merupakan satu komponen penting dalam ekonomi negara. ''Industri automotif menyumbang sebanyak RM30 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2013 dan menghasilkan 550,000 peluang pekerjaan,'' katanya. 

Berucap pada pelancaran dasar baharu berkenaan di sini hari ini, beliau berkata, buat masa kini kerajaan sedang berbincang dengan tiga syarikat pengeluar kereta asing untuk diberi insentif EEV dalam DAN 2014. ''Kami tidak boleh mendedahkan tiga syarikat itu buat masa ini tetapi kita dijangka menerima pelaburan asing baharu pada tahun ini dalam sektor berkenaan,'' jelas beliau. 

Definisi antarabangsa berhubung EEV ialah tahap spefikasi dari segi paras pelepasan karbon (CO2/km) dan penjimatan minyak (L/km) serta termasuklah kenderaan jimat minyak, hibrid, kenderaan elektrik dan kenderaan yang dijana biodiesel, Ethanol, Hidrogen, LPG, CNG dan fuel cell. Sehubungan itu, Mustapa berkata, wawasan DAN 2014 dalam menjadikan Malaysia hab EEV ialah kira-kira 85 peratus kenderaan yang dihasilkan di Malaysia pada 2020 adalah EEV. 

Beliau berkata, pengecualian duti eksais dan cukai import untuk kenderaan hibrid dan elektrik (EV) yang kini masih ada dalam pasaran akan dilanjutkan sehingga stok habis. Mengenai penjualan diesel Euro 4M di Malaysia bagi menjadikan enjin kereta diesel cekap tenaga dan bersihm beliau berkata, perkara itu sedang dikaji dan dijadual siap dalam tempoh dua bulan lagi. 

Menurutnya, sasaran utama DAN 2014 ialah untuk meningkatkan eksport dan tahap komponen automotif negara bagi menyaingi industri automotif negara jiran seperti Thailand dan Indonesia. ''DAN 2014 menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 buah kereta dari Malaysia akan dieksport manakala nilai komponen automotif yang dieksport mencecah RM10 bilion pada tahun 2020,'' jelas beliau.

sumber Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger