Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014



Latar belakang

NAP 2006 dan NAP 2009 


NAP telah diperkenalkan pada Mac 2006 bertujuan untuk membantu usaha transformasi dan integrasi industri automotif tempatan ke dalam jaringan industri serantau dan global yang semakin kompetitif melalui enam objektif utama iaitu: 



(i) menggalakkan industri automotif tempatan yang kompetitif dan berdaya tahan terutamanya pengeluar kereta nasional;

(ii) membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus;

(iii) menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mampan serta pembinaan keupayaan tempatan;

(iv) menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan komponen yang kompetitif di pasaran dunia; 
(v) menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh dalam industri automotif tempatan; dan

(vi) menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.

2. NAP telah dikaji semula pada Oktober 2009 bagi meningkatkan keupayaan dan daya saing industri automotif tempatan. Kajian semula juga adalah bagi memastikan persekitaran pelaburan yang kondusif.

3. Dalam melaksanakan kajian semula NAP, konsultasi berterusan selama lebih 18 bulan telah dijalankan. Pandangan dan input daripada industri tempatan dan kementerian/agensi Kerajaan berkaitan telah diambil kira supaya dasar dan langkah-langkah yang digariskan dalam NAP 2014 dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada industri automotif.

4. Secara keseluruhannya, maklum balas yang diterima daripada semua pihak adalah positif terhadap kerangka NAP 2014 yang melibatkan penumpuan kepada teknologi hijau, pembangunan teknologi, pembangunan modal insan, peluasan pasaran dan penambahbaikan ekosistem industri automotif.

5. Objektif NAP 2014 ialah:

(i) mewujudkan industri automotif tempatan yang lebih kompetitif dan berdaya saing;

(ii) membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau bagi kenderaan EEV;

(iii) menggalakkan peningkatan nilai tambah secara mampan serta pembinaan keupayaan tempatan;

(iv) meningkatkan tahap eksport kenderaan dan komponen serta alat ganti dalam sektor pembuatan dan sektor lepas jualan;

(v) meningkatkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dalam industri automotif tempatan termasuk sektor lepas jualan;

(vi) melengkapkan ekosistem industri automotif tempatan dalam sektor pembuatan dan lepas jualan; dan

(vii) menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.


Prestasi Industri Automotif Tempatan Malaysia 2013

6. Jualan kenderaan penumpang dan perdagangan dalam negara pada tahun 2013 meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada 652,120 unit daripada 627,753 unit pada tahun 2012. Peningkatan ini didorong oleh faktor-faktor berikut:

(i) pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan iaitu antara 4-5% ;
(ii) pengenalan beberapa model kenderaan pada harga yang kompetitif; dan
(iii) peningkatan kuasa beli pengguna.


Prestasi bagi tempoh 2009-2013

7. Prestasi keseluruhan industri automotif tempatan dari segi jualan adalah di antara 536,905 unit pada tahun 2009 dan 652,120 unit pada tahun 2013.

8. Jumlah pelaburan bagi industri automotif tempatan pula meningkat kecuali pada tahun 2009. Jumlah pelaburan adalah di antara RM700 juta hingga RM5 bilion pada tahun 2012. Dari Januari hingga Oktober 2013, jumlah pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM 3 bilion. Daripada jumlah RM3 bilion tersebut, pelaburan tempatan adalah sebanyak RM2.3 bilion dan pelaburan asing adalah sekitar RM 700 juta.

9. Prestasi perdagangan bagi industri automotif mengalami defisit di mana kadar peningkatan import adalah lebih tinggi berbanding eksport. Pada tahun 2012, jumlah defisit adalah sebanyak RM16 bilion di mana jumlah import adalah RM21.7 bilion dan jumlah eksport hanya RM5.3 bilion. Pada tahun yang sama, komponen dan alat ganti menyumbang kepada jumlah eksport sebanyak RM4.3 bilion, manakala jumlah eksport kenderaan penumpang hanya bernilai RM700 juta.


Status Industri Automotif di Peringkat Global

10. Pada tahun 2012, jumlah pengeluaran kenderaan global adalah sebanyak 84.1 juta unit, manakala jualan kenderaan pula adalah berjumlah 82.1 juta unit. Negara China, Amerika Syarikat dan Jepun menguasai tiga kedudukan teratas bagi jumlah pengeluaran dan jualan. Malaysia berada di kedudukan ke-18 bagi pengeluaran dan kedudukan ke-20 bagi jualan.

11. Pada tahun 2012, jumlah jualan yang tertinggi telah dicatatkan oleh Toyota dengan kuantiti sebanyak 8.91 juta unit, diikuti oleh Volkswagen sebanyak 8.61 juta unit dan General Motors sebanyak 7.65 juta unit. Bagi tahun 2013, jumlah jualan adalah sebanyak 82.8 juta unit.

12. Negara China merupakan pasaran automotif terbesar di dunia dengan jumlah jualan mencecah 19.3 juta unit kenderaan pada tahun 2012. Negara China juga telah menarik banyak pelaburan asing daripada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan terkemuka dunia seperti Toyota, Volkswagen, General Motor dan lain-lain.


Status Industri Automotif di Peringkat ASEAN

13. Persaingan di kalangan negara-negara ASEAN menyaksikan Malaysia pada tahun 2013 (sehingga November 2013) berada di kedudukan ketiga selepas Thailand dan Indonesia dari segi pengeluaran dan jualan kenderaan secara keseluruhan. Malaysia juga merupakan negara pasaran jualan ketiga terbesar selepas Indonesia dan Thailand bagi segmen kenderaan penumpang di rantau ASEAN.

14. Thailand masih mengekalkan prestasi sebagai peneraju di rantau ASEAN dengan mencatatkan pengeluaran kenderaan tertinggi sebanyak 2.45 juta unit berbanding dengan negara-negara lain.

15. Dari segi jualan kenderaan domestik, Thailand mengatasi Indonesia untuk menerajui negara-negara serantau pada tahun 2012 dengan peningkatan Total Industry Volume (TIV) sebanyak 81 peratus berbanding tahun sebelumnya.

16. Hampir keseluruhan industri automotif di Thailand dan Indonesia didominasi oleh syarikat-syarikat pengeluar kenderaan dari negara Jepun yang mengamalkan strategi komplimentasi terhadap rantaian bekalan komponen dan alat-ganti khusus bagi pasaran negara-negara ASEAN. Ini dibuktikan dengan majoriti syarikat-syarikat pengeluar tersebut yang menguasai rantaian bekalan di Thailand sebanyak 77 peratus dan Indonesia sebanyak 81 peratus.


Teras hala tuju dan strategi NAP 2014


17. NAP 2014 meliputi tiga Teras Hala Tuju dan tiga Teras Strategi . Teras Hala Tuju merangkumi teras Pelaburan, Teknologi dan Kejuruteraan serta Peluasan Pasaran, manakala Teras Strategi pula meliputi teras Pembangunan Rantaian Pembekal Komponen dan Alat Ganti, Pembangunan Modal Insan, serta Keselamatan dan Alam Sekitar.


A. Pelaburan

18. Jualan kenderaan di rantau ASEAN bagi tempoh Januari-November 2013 adalah sebanyak 3.2 juta unit, manakala kapasiti pengeluaran keseluruhan adalah lebih kurang 4.5 juta unit. Dianggarkan jualan kenderaan di rantau ASEAN akan meningkat melebihi 5.2 juta unit pada tahun 2020. Oleh yang demikian, Malaysia perlu memperkenalkan inisiatif bagi menarik pelaburan untuk memenuhi permintaan yang dijangka meningkat.

19. Kerajaan mensasarkan pertumbuhan dan peningkatan daya saing industri automotif Malaysia melalui penyelesaian isu-isu struktur seperti skala ekonomi yang kecil, kos pengeluaran yang tinggi, tahap teknologi dan pengetahuan yang rendah, rantaian bekalan yang tidak optimum dan pembangunan modal insan yang tidak selari sepenuhnya dengan keperluan industri. Pada masa yang sama, Kerajaan juga akan berusaha merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab segmen EEV melalui pelaburan strategik dan adaptasi teknologi tinggi oleh syarikat-syarikat automotif untuk pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa menjelang tahun 2020.

20. Berdasarkan amalan antarabangsa, EEV ditakrifkan sebagai kenderaan yang memenuhi spesifikasi yang ditetapkan bagi penggunaan bahan bakar secara lebih efisien dan pelepasan bahan asap, termasuk kenderaan konvensional bertenaga efisien, hibrid, kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan berbahan bakar alternatif seperti Compressed Natural Gas, Liqufied Petroleum Gas, Biodiesel, Etanol, Hidrogen dan Fuel Cell. Spesifikasi teknikal bagi penggunaan tenaga adalah seperti di Jadual 10 di galeri di atas.

21. Standard penggunaan bahan bakar yang lebih efisien telah ditetapkan melalui aktiviti penandaarasan antarabangsa (Eropah, Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan Taiwan) dan perbincangan dengan pihak industri automotif tempatan. Penetapan standard ini akan memastikan hanya pelaburan yang strategik dan berteknologi tinggi dibenarkan.


22. Standard penggunaan bahan bakar yang lebih efisien ini akan diguna pakai sebagai sumber rujukan dan akan dikemaskini selaras dengan pembangunan Pelan Hala Tuju Ke Arah Industri Automotif Teknologi Hijau yang akan dibangunkan oleh Malaysia Automotive Institute (MAI) dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan.

23. Buat sementara ini, pelaksanaan EEV hanya akan berdasarkan standard bahan bakar yang lebih efisien, manakala standard bagi pelepasan asap akan digunakan apabila kualiti minyak petrol dan diesel Euro 4M diperkenalkan. Satu kajian mendalam dan menyeluruh mengenai pelaksanaan Euro 4M sedang dijalankan dengan konsultasi bersama pihak industri dan agensi Kerajaan berkaitan.

24. Langkah-langkah yang telah digariskan di bawah teras Pelaburan adalah:

(i) pengeluaran Lesen Pengilang baharu bagi kenderaan dalam kategori EEV bagi semua segmen kenderaan;

(ii) pemberian insentif customised bagi menarik lagi pelaburan strategik dalam kategori kenderaan EEV;

(iii) pemberian insentif customised bagi membangunkan sektor strategik supaya ekosistem automotif dapat dipertingkatkan. Antara sektor strategik adalah enjin, transmisi dan sistem kawalan, set dai dan acuan (die and mould), acuan aluminium dan non-ferrous.

(iv) dasar sedia ada bagi pengeluaran Lesen Pengilang baharu bagi segmen bukan EEV dikekalkan.


B. Teknologi dan kejuruteraan

Mengambil kira perkembangan industri automotif yang semakin dinamik, wujud keperluan untuk membangunkan industri automotif yang responsif terhadap teknologi terkini. Ini adalah bagi memenuhi kehendak pengguna di samping memberi impak positif kepada alam sekitar.

25. Teras ini memberi penekanan kepada pembangunan teknologi dan kejuruteraan dalam sektor strategik seperti:

(i) enjin, transmisi dan sistem kawalan;
(ii) set dai dan acuan (die and mould);
(iii) acuan aluminium dan non-ferrous;
(iv) kejuruteraan reka bentuk dan prototaip;
(v) kemudahan pengujian komponen, sub-sistem dan kenderaan;
(vi) keluli gred automotif; dan
(vii) kejuruteraan plastik.

26. Industri automotif kini sedang bergerak ke arah industri hijau atau pembangunan mampan bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dari segi penggunaan tenaga dan juga pemanasan global. Oleh itu, aktiviti R&D dalam bidang teknologi hijau perlu bergerak seiring dengan pasaran dan permintaan industri automotif.

27. NAP 2014 akan memastikan supaya perkembangan industri automotif di Malaysia adalah selari dengan arah aliran teknologi masa hadapan dan menggalakkan pelaburan ke dalam teknologi automotif hijau. Antara langkah-langkah yang perlu diambil adalah:

(i) meningkatkan penggunaan teknologi hijau;
(ii) meningkatkan kerjasama strategik di antara Malaysia dan rakan-rakan FTA, syarikat tempatan dengan International Centre Of Excellence dan di antara syarikat tempatan dengan universiti tempatan dalam bidang teknologi hijau;
(iii) meningkatkan kepakaran dalam bidang R&D dan D&D; dan
(iv) penyediaan infrastruktur teknologi hijau yang bersesuaian.

28. Kemampuan dari segi pembangunan dan reka bentuk kenderaan perlu ditambah baik melalui penggunaan kemudahan sedia ada seperti universiti, tenaga pengajar, tenaga pakar serta perkakasan dan perisian. Sehubungan dengan itu, kemudahan yang sedia ada perlu dipertingkatkan melalui program kolaborasi di antara kepakaran tempatan dan antarabangsa.

29. Penggunaan kejuruteraan digital harus digalakkan di kalangan pengeluar tempatan bagi meningkat keupayaan pembangunan dan menyediakan kaedah yang lebih tepat dan berkesan dari segi reka bentuk automotif.

30. Langkah-langkah yang telah digariskan di bawah teras Teknologi dan Kejuruteraan adalah:

(i) pemberian insentif pengecualian duti import dan duti eksais mulai 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2015 bagi kenderaan hibrid Completely Knocked Down (CKD) dan mulai 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2017 bagi kenderaan elektrik CKD. Selepas itu, syarikat pemasang kenderaan hibrid dan elektrik secara CKD akan dipertimbangkan insentif customised. Pemberian insentif customised ini antara lain berdasarkan tahap pelaburan strategik oleh syarikat yang meliputi nilai pelaburan, jumlah pengeluaran, pemindahan teknologi, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan rantaian bekalan, peluang pekerjaan dan jumlah eksport.

(ii) penyediaan insentif dalam bentuk Skim Pinjaman Mudah dan pengecualian cukai untuk pembangunan infrastruktur dan pra-pengkomersilan teknologi seperti berikut:

a) dana berjumlah RM130 juta bagi tempoh 2014 hingga 2020 disediakan untuk pembangunan infrastruktur bagi kenderaan EEV (termasuk hibrid dan EV). Tujuan pemberian pinjaman mudah ini adalah untuk menyokong pembangunan infrastruktur seperti stesen pengecas kenderaan EV dan Plug-In Hybrid Vehicle (PHEV) termasuk pengecas awam (public charger), dan penyediaan infrastruktur-infrastruktur lain yang berkaitan dengan EEV.

b) dana berjumlah RM575 juta bagi tempoh 2014 hingga 2020 disediakan untuk aktiviti-aktiviti pra-pengkomersilan teknologi kepada syarikat-syarikat pengeluar komponen dan alat ganti yang menerima pakai teknologi baharu dan termaju. Skim ini bertujuan membiayai pembangunan teknologi yang selari dengan aliran semasa dan masa hadapan industri automotif terutamanya yang berkait rapat dengan aspek keselamatan dan alam sekitar. Teknologi tersebut merangkumi sub-sistem dan komponen bagi powertrain serta transmisi, komponen bahan ringan, bahan bakar alternatif dan bahan-bahan alternatif lain.

c) insentif cukai disediakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

(iii) Pusat Kecemerlangan Industri (ICOE) yang ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan akan digunakan sebagai platform untuk meningkatkan keupayaan semasa pembangunan teknologi sub-sistem automotif pada masa hadapan. ICOE akan berperanan sebagai penyelaras aktiviti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan standard dan modal insan, ujian serta kaedah pembuatan terbaik bagi teknologi sub-sistem automotif.


C. Peluasan pasaran

31. Bagi memastikan kemampanan industri automotif tempatan, fokus akan diberi kepada strategi yang menggalakkan eksport di kalangan industri automotif tempatan termasuk syarikat-syarikat dalam sektor lepas jualan dan perkhidmatan.

32. Objektif strategi ini, antara lain, bertujuan membuka atau memperluaskan lagi pasaran bagi pembekal komponen dan alat ganti tempatan melalui:

(i) usahasama strategik bagi memperluaskan pasaran dan meningkatkan teknologi pengeluaran syarikat bagi memenuhi tahap piawaian di negara pengimport; dan

(ii) perkongsian kapasiti pengeluaran sedia ada bagi memenuhi jumlah eksport yang dijangka meningkat tanpa perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran masing-masing.

33. Dasar peluasan pasaran yang diperkenalkan ini akan dapat meningkatkan akses industri automotif tempatan ke pasaran antarabangsa, menggalakkan pengiktirafan produk dan jenama tempatan di peringkat antarabangsa serta menggalakkan pemindahan teknologi.

34. Penglibatan Malaysia dalam FTA secara dua hala dengan negara-negara seperti Jepun, India, Pakistan, Australia, Chile dan New Zealand dan juga secara serantau bersama ASEAN dengan China, Jepun, India, Korea dan Australia-New Zealand telah menunjukkan impak positif dalam meningkatkan nilai perdagangan dan nilai pelaburan asing ke dalam negara. Melalui FTA, eksport komponen dan alat ganti telah meningkat setiap tahun dan berpotensi untuk dimajukan lagi.

35. Di bawah teras ini, langkah-langkah berikut akan diambil:

(i) menganjurkan program Automotive Parts & Components International Market Expansion (APCIMEX) yang meliputi aktiviti-aktiviti mengenal pasti faktor-faktor kritikal utama bagi tujuan pembangunan keupayaan eksport syarikat-syarikat pengeluar komponen ke negara/ rantau yang disasarkan iaitu ASEAN, China, India, Afrika, Kesatuan Eropah dan Amerika Utara;

(ii) menyediakan Skim Pinjaman Mudah sebanyak RM126 juta bagi tempoh 2014 hingga 2020 untuk membiayai penubuhan pusat rangkaian pengedaran yang antara lain bertindak sebagai pusat yang mengawal selia gudang, pembungkusan semula, logistik, jadual penghantaran berkala, kawalan inventori, kawalan penghantaran, pengurusan hubungan pelanggan, perhubungan teknikal, pengurusan pembangunan projek, pengurusan kualiti dan penilaian pembekal; dan

(iii) meningkatkan kerjasama teknikal dan usahasama ekonomi dengan rakan dagang di bawah pelbagai FTA dua hala dan serantau dalam usaha meningkatkan keupayaan untuk menembusi pasaran eksport.


D. Pembangunan rantaian pembekal komponen dan alat ganti

36. Antara aspek penting bagi memastikan industri automotif tempatan lebih berdaya saing adalah tahap kecekapan dan keberkesanan operasi. Justeru, NAP 2014 akan memberi lebih fokus kepada usaha-usaha meningkatkan pembangunan rantaian pembekal komponen dan alat ganti dan keberkesanan operasi yang turut meliputi aspek-aspek berikut:

(i) peningkatan sistem pengurusan kualiti;
(ii) peningkatan sistem pengurusan operasi;
(iii) peningkatan sistem pengurusan perniagaan; dan
(iv) peningkatan keupayaan dan kapasiti ujian dan validasi.

37. Langkah-langkah yang telah digariskan di bawah teras Pembangunan Rantaian Pembekal Komponen dan Alat Ganti adalah:

(i) penyediaan peruntukan berjumlah RM765 juta di bawah Skim Pinjaman Mudah bagi tempoh 2014 hingga 2020 kepada syarikat pengeluar Tool, Dies and Mould (TDM). Kos bagi pembangunan model baharu adalah tinggi dan 40 peratus daripada keseluruhan kos tersebut merangkumi kos bagi aktiviti tooling;

(ii) penyediaan peruntukan berjumlah RM295 juta di bawah Skim Pinjaman Mudah bagi tempoh 2014 hingga 2020 untuk syarikat-syarikat pengeluar komponen dan alat ganti bagi meningkatkan daya saing dengan penambahbaikan proses melalui automasi, konsolidasi, usahasama, kerjasama teknikal dan lain-lain. Peruntukan ini adalah untuk membiayai aktiviti-aktiviti seperti keupayaan penyelidikan gunaan (aktiviti pra-pengkomersilan), reka bentuk dan pembuatan produk dan/ atau tooling.


E. Pembangunan modal insan

38. Teras Pembangunan Modal Insan pula mensasarkan penyediaan tenaga kerja mahir yang mencukupi di semua peringkat bagi memacu pertumbuhan industri automotif negara. Tenaga kerja yang kompeten dan mencukupi juga turut memainkan peranan yang penting bagi mentranformasi industri automotif ke tahap yang lebih berdaya saing.

39. NAP 2014 memberi penekanan kepada peningkatan kemahiran dan keupayaan dalam bidang:

(i) kepimpinan;
(ii) pengurusan;
(iii) kejuruteraan;
(iv) kualiti;
(v) reka bentuk; dan
(vi) pengurusan kos.

40. Pelan pembangunan modal insan ini akan meningkatkan lagi mutu program-program sedia ada di peringkat juruteknik dan operator. Kewujudan tenaga mahir industri automotif yang khusus seperti bidang pengeluaran berautomasi akan membolehkan industri automotif tempatan meningkatkan proses automasi dan kepelbagaian kemahiran. Ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing kurang mahir dan seterusnya membantu mewujudkan tenaga kerja mahir tempatan yang berpendapatan tinggi.

41. Bagi menjamin pembangunan berterusan modal insan dalam industri automotif, tindakan berikut akan diambil:

(i) MAI meneruskan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui program perantis automotif yang mana telah dilaksanakan mulai pengambilan pelajar-pelajar bagi sesi 2012 bagi mempercepatkan penempatan graduan-graduan ke dalam industri automotif;

(ii) penyediaan peruntukan sejumlah RM100 juta bagi tempoh 2014 hingga 2020 untuk pembangunan modal insan bagi program-program seperti:

a. penempatan pakar-pakar dalam bidang automotif di syarikat-syarikat pengeluar komponen dan alat ganti;
b. teknologi pembuatan komponen dan alat ganti;
c. lean production system;
d. kemahiran kepimpinan;
e. keupayaan pengurusan;
f. keupayaan kejuruteraan;
g. keupayaan kualiti;
h. keupayaan reka bentuk; dan
i. keupayaan pengurusan kos.


F. Keselamatan dan alam sekitar

42. Selaras dengan komitmen Malaysia dalam mengurangkan kadar pelepasan karbon sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020, Teras Keselamatan dan Alam Sekitar dapat membantu mengurangkan kadar pelepasan asap, meningkatkan keberkesanan bahan bakar, memulihara alam sekitar dan sumber asli. Selaras dengan matlamat ini, inisiatif untuk mentransformasi dan menghijaukan keseluruhan rantaian industri automotif perlu dilaksanakan. Ini termasuklah mengawal selia proses pengeluaran kenderaan dan perkhidmatan lepas jualan.

43. Pemeriksaan kenderaan secara sukarela yang diperkenalkan di bawah NAP 2014 adalah bukan bertujuan untuk melupuskan kenderaan berdasarkan jangka usia. Objektif utama langkah ini adalah bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna dan kenderaan di atas jalan raya melalui pemeriksaan tahunan.

44. Bagi memastikan pemeriksaan kenderaan secara sukarela ini dapat memberi manfaat kepada pengguna dan juga masyarakat perniagaan, pelan pelaksanaan pemeriksaan kenderaan dalam NAP 2014 menggariskan pelantikan pusat pemeriksaan kenderaan, tidak terhad kepada satu agensi atau syarikat sahaja tetapi memberi peluang perniagaan tambahan kepada syarikat yang layak. Ini juga akan memastikan kadar caj pemeriksaan kenderaan yang dikenakan akan lebih kompetitif berdasarkan permintaan pasaran.

45. Di samping itu, program kesedaran mengenai kepentingan menjalankan pemeriksaan kenderaan telah dimulakan dengan melibatkan penyertaan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi dan pusat latihan di seluruh negara. Usaha ini akan diperhebatkan lagi dan skop program kesedaran akan diperluaskan bagi melibatkan setiap peringkat masyarakat di kawasan bandar dan juga luar bandar.

46. Pada masa ini, pembangunan dan pelaksanaan standard hanya dikenakan bagi komponen dan alat ganti baharu. Bagi mengukuhkan lagi aspek keselamatan kenderaan dan pengguna, dasar pelaksanaan standard bagi komponen dan alat ganti terpakai juga perlu diperkenalkan.

47. Dalam usaha mentransformasikan industri automotif tempatan ke arah meningkatkan keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar, teras Keselamatan dan Alam Sekitar akan memperkenalkan langkah-langkah berikut:

(i) membangunkan piawaian Malaysia bagi komponen dan alat ganti baharu dan terpakai yang melibatkan keselamatan kenderaan di mana pelaksanaannya akan dilakukan secara berperingkat bermula awal tahun 2015;

(ii) melaksanakan pemeriksaan kenderaan secara sukarela melalui pemeriksaan tahunan bagi kenderaan penumpang berusia lebih 5 tahun;

(iii) mengguna pakai Piawaian 3R (Reduce, Reuse, Recycle) antarabangsa dalam Standard Malaysia menjelang 1 Januari 2015 bagi tujuan mengawal selia aktiviti-aktiviti 3R untuk setiap model. Pada masa ini, negara-negara Eropah telah memperkenalkan piawaian 3R melalui EC 3R Directive;

(iv) menggalakkan penyertaan pihak swasta untuk menjadi pembekal perkhidmatan teknikal bagi melaksanakan pemeriksaan Vehicle Type Approval (VTA) sepenuhnya. Usaha ini akan dikawal selia oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Pemberian insentif customised akan disediakan untuk pembekal perkhidmatan teknikal yang berkelayakan.


G. Agenda bumiputera

48. Bagi memperkukuhkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara, NAP 2014 akan turut melibatkan dasar-dasar bagi memperkasa ekonomi Bumiputera yang seiring dengan usaha merealisasikan objektif untuk menghasilkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing sekaligus menembusi pasaran antarabangsa. Dasar ini akan menitikberatkan aspek-aspek utama seperti pembangunan modal insan, pembangunan rantaian pembekal komponen dan alat ganti serta pembangunan teknologi.

49. Bagi meningkatkan penyertaan syarikat-syarikat Bumiputera dalam industri automotif khususnya bagi sektor pembuatan dan lepas jualan, NAP 2014 juga akan memperkenalkan langkah-langkah berikut:

(i)penyediaan peruntukan sebanyak RM75 juta bagi tempoh 2014 hingga 2019 bagi meningkatkan daya saing syarikat-syarikat Bumiputera dalam industri automotif bagi tujuan pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan; dan

(ii) pemantauan secara berterusan akan dijalankan ke atas syarikat pengeluar kenderaan serta pihak yang terlibat dalam sektor pembuatan dan lepas jualan untuk memastikan penglibatan yang berkesan oleh syarikat-syarikat Bumiputera dalam industri automotif tempatan.


H. Kenderaan nasional

50. Dalam memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang mampan, Kerajaan telah mengambil inisiatif dalam menyediakan pelbagai jenis bantuan dan sokongan merangkumi bantuan kewangan dan bukan kewangan kepada syarikat-syarikat automotif tempatan termasuk projek-projek kenderaan nasional. Antara bantuan-bantuan kewangan yang telah disalurkan oleh Kerajaan adalah Dana Pembangunan Automotif, Skim Pinjaman Mudah Pembangunan Automotif, Skim Pinjaman Mudah Automasi dan Modenisasi, Program Rangkaian Industri serta Program Tool, Die and Mould. Antara bantuan-bantuan bukan kewangan pula termasuklah program bina upaya industri seperti MAJAICO, Apprentice, Automotive Industrial Certification Engineering dan Lean Production System.

51. Kerajaan telah memperkenalkan projek kenderaan nasional iaitu PROTON, PERODUA dan MODENAS. Kerajaan juga telah menyediakan insentif bagi memastikan kejayaan projek nasional ini. Di samping itu, pihak PROTON, PERODUA dan MODENAS turut membuat pelaburan yang tinggi dan telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri automotif tempatan. Lebih daripada 500 syarikat vendor bagi mengeluarkan komponen dan alat ganti telah dapat diwujudkan dan menawarkan peluang pekerjaan kepada 180,000 orang. Ini tidak termasuk peluang pekerjaan yang disediakan oleh PROTON, PERODUA dan MODENAS sebanyak lebih kurang 30,000 orang.

52. Kerajaan menerusi NAP 2014 akan meneruskan sokongan kepada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan nasional sedia ada. Sokongan yang akan diberi termasuklah dalam aktiviti peluasan pasaran, peningkatan produktiviti serta kualiti, pengurangan kos dan pembangunan rantaian bekalan berdasarkan pelan transformasi syarikat masing-masing yang selari dengan objektif projek nasional.


I. Pelan hala tuju dan pelaksanaan

53. Bagi menjamin kelangsungan pelaksanaan kesemua langkah yang telah dicadangkan dalam NAP 2014, pelan hala tuju dan pelaksanaan yang berkaitan dengan pembangunan industri automotif negara telah dibangunkan.

54. Pelan hala tuju ini bakal menjadi garis panduan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam industri automotif tempatan. Pelan-pelan hala tuju yang telah dibangunkan adalah seperti berikut:

(i) Pelan Hala Tuju Ke Arah Industri Automotif Teknologi Hijau

Memperincikan pembangunan teknologi hijau terkini yang selaras dengan perkembangan industri automotif global. Pelan hala tuju ini turut melibatkan rasionalisasi sistem percukaian kenderaan bagi menghasilkan nilai rantaian yang lebih mesra alam di samping memastikan kemampanan industri automotif tempatan yang lebih berdaya saing.

(ii) Pelan Hala Tuju Peningkatan Daya Saing Rantaian Bekalan Komponen dan Alat Ganti Automotif

Meningkatkan daya saing rantaian pembekal komponen dan alat ganti dari segi kecekapan dan keberkesanan operasi secara berterusan. Pelan hala tuju ini meliputi aspek-aspek seperti peningkatan sistem pengurusan kualiti, operasi, pengurusan perniagaan serta peningkatan keupayaan dari segi kapasiti ujian dan validasi.

(iii) Pelan Hala Tuju Pembangunan Modal Insan

Memperincikan pembangunan berterusan modal insan dalam industri automotif di semua peringkat. Selain itu, pelan ini juga memfokuskan peningkatan mutu program-program sedia ada di peringkat juruteknik dan operator. Di samping itu, pelan ini juga menggariskan pelaksanaan ke arah mewujudkan tenaga mahir industri automotif yang khusus seperti dalam bidang pengeluaran komponen hibrid dan transmisi enjin.

(iv) Pelan Hala Tuju Sektor Pembuatan Semula (Remanufacturing) Industri Automotif

Memperincikan kriteria pembuatan semula serta piawaian dan amalan terbaik yang sewajarnya diguna pakai oleh pihak industri dalam menjadikan Malaysia sebagai hub aktiviti pembuatan semula global. Selain itu, pelan hala tuju ini juga menggariskan langkah-langkah bersesuaian bagi mengoptimumkan tahap recycability dan recoverability komponen terpakai sekaligus menyokong aspirasi Kerajaan dalam menghijaukan keseluruhan rantaian industri automotif tempatan.

(v) Pelan Hala Tuju Syarikat Bumiputera

Menggariskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan bagi meningkatkan daya saing syarikat Bumiputera dalam industri automotif. Aktiviti-aktiviti ini adalah sejajar dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa ekonomi Bumiputera serta menghasilkan usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing sekaligus menembusi pasaran antarabangsa.

(vi) Pembangunan Rangka Kerja Kemudahan Rawatan Kenderaan Lupus Berlesen (Authorized Treatment Facilities - ATF)

Merangka garis panduan dalam mentransformasikan aktiviti-aktiviti lepas jualan dalam usaha membangunkan industri automotif hijau yang mampan.

55. Pelaksanaan pelan hala tuju akan dipantau oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sementara MAI pula dipertanggungjawabkan untuk menyelaras dan melaksanakan program-program yang telah digariskan di bawah semua pelan-pelan hala tuju tersebut.


J. Penyelarasan industri automotif

56. MITI akan bertindak sebagai agensi peneraju untuk menyelaras pelaksanaan NAP 2014 dan isu-isu dasar yang berkaitan industri automotif dengan pihak industri dan semua kementerian/agensi Kerajaan berkaitan.

57. Malaysian Automotive Council (MAC) akan memantau pelaksanaan NAP secara menyeluruh. Pengerusi dan ahli-ahli MAC akan dilantik oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan MAI akan bertindak sebagai Seketariat kepada MAC.


K. Langkah-langkah NAP 2009 yang dikekalkan

58. Terdapat beberapa langkah di bawah NAP 2009 yang akan dikekalkan di bawah NAP 2014 seperti berikut:


(i) pembekuan Lesen Pengilang bagi aktiviti bina semula kenderaan perdagangan;

(ii) pemberian Elaun Cukai Pelaburan (ITA) atau Taraf Perintis (PS) sebanyak 100 peratus bagi tempoh 10 tahun bagi sektor pembuatan atau pemasangan kenderaan hibrid dan elektrik; dan

(iii) pemberian Taraf Perintis (PS) sebanyak 100 peratus bagi tempoh sepuluh (10) tahun atau Elaun Cukai Pelaburan (ITA) sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima (5) tahun bagi aktiviti pengeluaran komponen dan alat ganti kritikal dan bernilai tambah yang tinggi.


Sasaran NAP 2014


59. Menjelang tahun 2020, Kerajaan mensasarkan pencapaian dalam industri automotif seperti berikut:


Pengeluaran dan Eksport

(i) Kenderaan bermotor:

(a) pengeluaran kenderaan bermotor berjumlah 1.35 juta unit setahun (2013: anggaran 580,000 unit) di mana 1.15 juta unit adalah kenderaan EEV.

(b) jualan tempatan kenderaan penumpang berjumlah 1 juta unit setahun (2013: 652,210 unit) dan 100,000 unit bagi kenderaan perdagangan.

(c) jumlah eksport sebanyak 250,000 unit setahun.

(ii) Motosikal:

Pengeluaran 800,000 unit motosikal (2013: anggaran 430,000 unit) di mana 650,000 unit adalah motorsikal EEV.

(iii) Komponen automotif:

Jumlah eksport bernilai lebih daripada RM10 bilion setahun.

(iv) Kemudahan Rawatan Kenderaan Lupus Berlesen (Authorized Treatment Facility) dan Industri Pembuatan Semula (Re-manufacturing):

Jumlah eksport “remanufactured components and recycled material bernilai lebih daripada RM2 bilion setahun.

Peluang Pekerjaan


60. Bagi pembangunan modal insan, adalah disasarkan penjanaan peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan lepas jualan dan perkhidmatan sebanyak 150,000 di mana 70,000 adalah dalam sektor pembuatan dan 80,000 dalam sektor lepas jualan dan perkhidmatan. Pada masa ini, industri automotif mempunyai tenaga kerja sejumlah 550,000 pekerja.


Pengurangan Pekerja Asing

61. Menjelang tahun 2020, adalah disasarkan 80 peratus daripada tenaga kerja asing dalam sektor pembuatan dapat digantikan dengan pekerja mahir dan separuh mahir tempatan.


Pembangunan Vendor Bertaraf Global

62. Pembangunan rantaian pembekal komponen dan alat ganti:

(i) menaiktaraf 180 syarikat pengeluar komponen dan alat ganti mencapai tahap keupayaan peringkat lima mengikut definisi global;

(ii) menaiktaraf 150 syarikat pengeluar komponen dan alat ganti mencapai tahap keupayaan peringkat empat mengikut definisi global; dan

(iii) menaiktaraf 100 syarikat pengeluar komponen dan alat ganti mencapai tahap keupayaan peringkat tiga mengikut difinisi global.


Pembangunan Teknologi

(i) Penubuhan dua pusat pengkhususan rekaan dan kejuruteraan automotif.

(ii) Penubuhan pusat pengujian VTA sepenuhnya.

(iii) Penubuhan pusat perkhidmatan pengguna kenderaan (vehicle user solution center).

(iv) Malaysia menjadi destinasi keutamaan bagi pelaburan, kajian, penerimaan pakai teknologi dan pembangunan modal insan dalam bidang-bidang yang berkaitan teknologi powertrain hijau, pembuatan termaju automotif dan proses pengilangan yang rendah pelepasan asap.
Faedah-faedah Lain

63. Penciptaan industri-industri baharu dalam rantaian bekalan automotif dan bukan automotif seperti berikut:

(i) industri kejuruteraan dan kepersisan tinggi;
(ii) industri kejuruteraan rekaan dan prototaip;
(iii) industri foundry dan casting;
(iv) industri aluminium dan non-ferrous casting;
(v) industri pengujian sub-sistem dan komponen kenderaan;
(vi) industri keluli bergred automotif; dan
(vii) industri kejuruteraan plastik.


Kesimpulan

64. Industri automotif adalah merupakan industri yang penting bagi Malaysia dengan sumbangan sebanyak 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jumlah eksport sebanyak RM5.3 bilion, jumlah pelaburan sebanyak RM5 bilion (Januari-Oktober 2013:RM3 bilion) dan jumlah pekerja sebanyak 550,000 pada tahun 2012. Adalah diunjurkan pada tahun 2020, sumbangan industri automotif tempatan kepada KDNK meningkat kepada 10 peratus di mana pengeluaran kenderaan dijangka meningkat kepada 1.35 juta unit. Dari segi guna tenaga pula, industri automotif dijangka mewujudkan sebanyak 150,000 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2020.

Dalam memastikan pembangunan industri automotif tempatan yang mampan, Kerajaan akan mengambil pelbagai langkah untuk memastikan industri automotif negara lebih berdaya saing di dalam dan di luar negara. Selain dari memperkenalkan langkah-langkah baharu yang selari dengan perubahan teknologi dan perkembangan terkini industri automotif serantau dan global, NAP 2014 mensasarkan Malaysia untuk menjadi hab kenderaan EEV menjelang tahun 2015.


Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger