NAP 2014 : Dasar Automotif Negara 2014 Peruntuk RM75 Juta Untuk Bumiputera


Kerajaan telah menggariskan dua langkah utama yang memastikan syarikat bumiputera terus kekal berdaya saing dalam Dasar Automotif Nasional (DAN) 2014 Dua langkah utama itu ialah penyediaan dana sebanyak RM75 juta dan pemantauan berterusan terhadap syarikat pengeluar kenderaan. 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dana tersebut akan diperuntukkan untuk tempoh 2014 hingga 2019 kepada syarikat bumiputera yang berkecimpung dalam industri berkenaan. "Dana berkenaan bertujuan untuk membantu pembangunan teknologi, modal insan dan rantaian bekalan syarikat bumiputera. 

"Langkah kedua adalah melakukan pemantauan secara berterusan ke atas syarikat pengeluar kenderaan serta pihak yang terlibat dalam pembuatan serta selepas jualan bagi memastikan rancangan berkenaan berkesan," katanya semasa mengumumkan DAN 2014, di sini hari ini. 

Mustapa berkata, DAN 2014 terus komited untuk meningkatkan penyertaan syarikat bumiputera dalam usaha melahirkan usahawan yang mampu menembusi pasaran antarabangsa. Sementara itu, dasar baharu berkenaan turut memberi tumpuan terhadap pembangunan kenderaan nasional seperti Proton Holdings Bhd. (Proton), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dan Modenas memandangkan syarikat berkenaan telah membuat pelaburan yang tinggi dalam industri automotif tempatan. 

Bantuan yang diberikan oleh kerajaan antaranya, aktiviti peluasan pasaran, peningkatan produktiviti serta kualiti, pengurangan kos dan pembangunan rantaian bekalan berdasarkan pelan transformasi syarikat masing-masing yang selari dengan projek nasional. Turut mendapat perhatian dalam DAN 2014 ialah ketetapan DAN 2009 iaitu penamatan dasar AP terbuka pada 31 Disember 2015 dan AP francais pada 31 Disember 2020. 

Mustapa berkata, kerajaan memutuskan untuk membuat kajian mendalam bagi menilai kesan penglibatan bumiputera dalam sektor itu jika dasar itu ditamatkan. ''Kami akan mendapatkan reaksi daripada pemegang-pemegang AP dan pemain-pemain industri, ahli-ahli politik dalam hal ini. Ini merupakan isu yang penting. ''Kajian (tentang AP) akan dibuat selepas Tahun Baharu Cina,'' katanya.

sumber Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger