Kerajaan Jangka Umum Kajian Semula NAP Pada 15 Jan 2014


Kerajaan dijangka mengumumkan kajian semula Dasar Automotif Negara (NAP) antara 10 Jan dan 15 Jan depan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed Selasa. Beliau berkata draf dasar itu kini dalam peringkat akhir penyediaan. 

"Kami berharap Kabinet akan meluluskan dasar itu, yang pengumumannya ditunggu-tunggu, menjelang akhir tahun. Namun ia bukan masa yang baik untuk melancarkan dasar utama itu. "Oleh itu kami berkemungkinan akan mengumumkannya pada pertengahan Januari," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Automotif Antarabangsa Kuala Lumpur keempat di sini hari ini.

Beliau yang ditanya mengenai kemajuan NAP berkata industri auto merupakan sektor yang sangat penting dalam ekonomi negara. "Oleh itu kami mahu memastikan apa sahaja yang akan dilaksanakan, ia dilakukan dengan objektif mempromosi pembangunan sektor auto di Malaysia," katanya. Mengenai NAP itu sendiri, Mustapa berkata fokus utama ialah ke atas daya saing sektor itu, selain kenderaan cekap tenaga. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia Datuk Aishah Ahmad berkata peserta industri menunggu pengumuman rasmi mengenai NAP oleh kerajaan, memandangkan ia sudah lama tertangguh. Beliau menjangkakan kajian semula NAP itu meliputi dasar industri automotif jangka panjang yang mampu menarik pelabur asing untuk turut serta.

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger