JPJ Yakin Sistem Komputer Baharu MySikap Beri Lebih Manfaat Kepada Pelanggan


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Johari Yusof berkata pihaknya akui bahawa sistem komputer baharu MySikap yang mula digunakan di semua pejabat JPJ seluruh negara mulai semalam menghadapi sedikit masalah kerana pertama kali digunakan. 

"Kita mohon maaf kepada pelanggan yang menghadapi kesulitan kerana pertukaran sistem ini. "Bagaimanapun, kita yakin sistem baharu itu akan memberikan lebih manfaat kepada pelanggan dan JPJ kerana lebih mudah dan telus," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam Penguatkuasa JPJ Johor di Stesen Penguatkuasa Kesang (SPK). 

Bercakap kepada pemberita kemudian Johari berkata JPJ Johor mengeluarkan 287 saman terhadap pengguna jalan raya dalam empat sekatan jalan di sekitar daerah Muar dan Ledang menerusi satu operasi bersepadu, petang semalam. 

Katanya, operasi selama tiga jam itu turut menyita tiga kereta dan enam motosikal selepas memeriksa pelbagai kenderaan termasuk kenderaan berat dengan muatan 5,000 kilogram, bas, teksi serta kereta sewa. "Motosikal merupakan kenderaan tertinggi menerima saman iaitu sebanyak 164 diikuti kereta (89), kenderaan berat (18), kenderaan persendirian (10), bas (3), kereta sewa (2) manakala teksi (1)," katanya. 

Katanya operasi berkenaan turut melibatkan anggota polis trafik, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

dipetik dari BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger