Unsur Keagamaan Dalam Kempen Keselamatan Jalan Raya - JKJR KL

 
KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kempen keselamatan jalan raya sempena musim Hari Raya Haji tahun ini akan mengambil pendekatan keagamaan dalam menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke kampung menyambut perayaan itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kuala Lumpur, Muhammad Heeza Hassan berkata konsep itu diperkenalkan buat pertama kalinya melalui kerjasama JKJR dengan Persekutuan Pertubuhan Agama Tao dan 'Islamic Information and Services Foundation (IIS)'.

"Melalui kerjasama ini, kami akan edarkan risalah mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan dan pematuhan undang-undang melalui perspektif Islam dan Tao,"katanya kepada pemberita sebelum memulakan kempen itu di plaza tol Sungai Besi, Ahad.

Beliau berkata dari Januari hingga September tahun ini, lebuh raya dan jalan-jalan di Kuala Lumpur mencatat 47,538 kemalangan yang menyebabkan 181 kematian.

Paling ramai melibatkan pengguna motosikal iaitu 115 kematian, kereta 31, pejalan kaki 21 orang, penunggang basikal (dua kematian), bas (satu kematian), lori (empat kematian), van (dua kematian), pacuan empat roda (dua kematian) dan lain-lain kenderaan (tiga kematian).

Dalam pada itu, Muhammad Heeza memberitahu Bernama, pihaknya akan memperluaskan kurikulum pendidikan keselamatan jalan raya kepada pelajar Tingkatan Empat tahun depan bagi mendidik mereka berkaitan isu keselamatan jalan raya.

Beliau berkata buat masa ini kurikulum itu hanya diajar dari Tahun 1 hingga ke Tingkatan Dua sahaja.

"Kita mempunyai sebab untuk memperkenalkannya kepada pelajar Tingkatan Empat kerana 40 peratus kemalangan maut jalan raya selama ini membabitkan belia berumur 16-25 tahun.

"Mereka adalah pelajar yang mungkin sedang atau sudah habis bersekolah," katanya selepas melancarkan kempen keselamatan berkenaan.

Muhammad Heeza berkata kurikulum itu dijangka diajar pada sesi permulaan sekolah Januari 2014 dengan menyerapkannya ke dalam pendidikan Bahasa Melayu.

Katanya, sebelum dilaksanakan, perbincangan diadakan dengan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan yang terlibat dengan keselamatan jalan raya.

"Mereka berpendapat ia adalah cara bijak untuk mewujudkan tahap kesedaran keselamatan tinggi di kalangan pengguna jalan raya, sama seperti di Sweden dan Australia," katanya.

--BERNAMA

Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger