Perodua Rancang Perkenal Enjin Aluminum Pada Model Selepas Ini


Perodua merancang memperkenalkan enjin aluminium pada modelnya selepas ini untuk dilancarkan pada suku ketiga tahun hadapan. Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Aminar Rashid Salleh berkata enjin itu akan dikeluarkan di kilang RM1.3 bilion yang dijangka siap pada suku ketiga tahun depan. 

"Kami akan menukar enjin daripada besi tuangan kepada aluminium untuk meningkatkan lagi enjin pembakaran dalaman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan "Revive Your Drive" di sini Khamis. 

Aminar Rashid berkata selain memberikan penggunaan bahan api yang lebih cekap, pertukaran kepada enjin aluminium akan mengurangkan kos pembuatan, sejajar dengan sasaran syarikat untuk mengurangkan kos antara 20 peratus dan 30 peratus menjelang 2015. 

"Untuk menjadi kompetitif, kami menyasarkan untuk mengurangkan kos antara 20 dan 30 peratus dan penukaran enjin adalah antara komponennya (untuk mengurangkan kos)," kata beliau. Mengenai jualan, Aminar Rashid berkata syarikat itu menjual hampir 130,000 kereta daripada Januari hingga Ogos, hingga 3.5 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kebanyakannya disumbangkan oleh jualan kenderaan MyVi. 

"Kami berjaya menjual 8,000-9,000 unit MyVi sebulan. Permintaan untuk MyVi terus kukuh," katanya. Sementara itu, bagi pertandingan "Revive Your Drive", 24 pemenang dipilih daripada 15,000 penyertaan sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20 syarikat itu.

sumber Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger