PDRM Akan Perluas Program 'Go-To-Safety Points'


Program 'Go-to-safety-points' antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Petron Malaysia akan diperluas ke semua stesen minyak Petron di seluruh negara, kata Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah Bukit Aman Datuk Ayub Yaakob. 

Katanya program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan itu yang diperkenalkan awal bulan ini, bertujuan memberi perlindungan dan bantuan kepada mangsa jenayah di stesen minyak Petron sekitar Lembah Klang. 

"PDRM telah melatih pekerja-pekerja Petron ini supaya mereka dapat memberi bantuan kepada mangsa jenayah dan tahu apa langkah seterusnya yang harus dibuat bagi memberi perlindungan kepada mereka. "Selain itu, polis turut melatih petugas di stesen minyak terbabit menggunakan talian hotline polis agar bantuan daripada pihak peronda polis dapat dihulur sejurus menerima aduan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini Isnin. 

Ayub berkata program yang sebelum ini diperkenal di kedai serbaneka 7-Eleven dan cawangan Pos Malaysia, berjaya mengurangkan kadar jenayah di samping memudahkan orang ramai yang menjadi mangsa jenayah mendapatkan bantuan. 

Katanya PDRM turut mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan kerjasama seumpama itu dengan stesen minyak lain di negara ini bagi mewujudkan suasana selamat dalam kalangan orang awam dan menurunkan kadar jenayah menerusi kerjasama polis dan masyarakat. Beliau berkata program 'Go-to-safety points' itu yang diperkenal awal tahun ini turut membabitkan polis peronda singgah di 'safety points' bagi mendapat maklumat daripada pekerja di premis berkenaan. 

"Kita yakin selepas latihan-latihan diberikan, pekerja-pekerja ini mampu bertindak dalam keadaan genting sekiranya diperlukan. Jika mereka melihat kejadian jenayah, mereka segera telefon talian hotline kita dan pasukan peronda yang terdekat akan tiba," katanya. Program 'Go-to-safety points' dengan Petron Malaysia itu akan dilancar oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, Sabtu ini.

sumber BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger