Mitsubishi Attrage Bakal Dilancarkan November Ini!


Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) semalam telah membuat pengumuman rasmi mengenai pelancaran model terbaharu Mitsubishi Attrage yang dijadual akan diadakan pada bulan November 2013 akan datang. Serentak dengan itu, tempahan untuk model sedan kompak berkenaan turut dibuka di semua bilik pameran MMM di seluruh negara. 

Antara tarikan utama Mitsubishi Attrage ialah ia dikuasakan enjin moden 1.2 liter tiga silinder MIVEC dengan kuasa 80PS dan 106Nm tork maksimum, di mana enjin tersebut terbukti cekap dalam penggunaan petrol. Pada kadar 21km per liter, Attrage didakwa sebagai sebuah model sedan paling cekap penggunaan bahan apinya di Malaysia apabila dilancarkan kelak. 

Mitsubishi Attrage sebelum ini dilancarkan di pasaran Thailand pada bulan Julai yang lalu, dan model berkenaan telah menerima status kereta eko dari pihak kerajaan Thailand atas kecemerlangan ekonomi bahan apinya. Sedan tersebut dikeluarkan dari kilang Mitsubishi di Laem Chabang, Thailand. 

Menurut MMM, nama ‘Attrage’ terhasil daripada perkataan ‘attractive’. Untuk pasaran Malaysia, empat varian akan ditawarkan. Varian pertama iaitu GL akan dilengkapi transmisi manual lima kelajuan. Tiga varian lagi iaitu GL, GS dan SE tersedia dengan pilihan transmisi automatik INVECS-III CVT yang lancar. 

Kesemua varian didatangkan dengan ciri-ciri keselamatan seperti dua beg udara dan ABS dengan EBD. Varian GS mendapat kelengkapan tambahan seperti ‘keyless entry’ dengan butang ‘push start’, stereng dan tombol gear dengan balutan kulit, serta penyaman udara automatik. 

Bagi varian SE, model tertinggi itu turut dibekalkan kit badan sporty, lampu LED nyala siang, cermin dengan filem penebat haba keselamatan, tempat duduk kulit dan unit audio skrin sesentuh 2-DIN dengan USB, AUX-in dan kamera undur. Menurut MMM, harga pengenalan bagi model yang diimport dari Thailand itu akan bermula dari RM59,000.00 atas jalan tanpa insuran. 

Mitsubishi Attrage hadir dengan tempoh jaminan 3 tahun atau 100,000km, yang mana tiba lebih awal. Bagi 1,000 orang pelanggan yang membuat tempahan terawal pula, masing-masing akan menerima sistem navigasi GPS Garmin.

KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ



sumber : KeretaMoto.com
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger