Naza Kia Lancar Picanto Versi Baharu Pada Suku Keempat Tahun Ini


Naza Kia Malaysia Sdn Bhd merancang untuk melancarkan versi baharu Kia Picanto pada suku keempat tahun ini, kata Ketua Pegawai Operasi Datuk Hafiz Syed Abu Bakar. Beliau berkata sebagai permulaan, syarikat menyasar untuk menjual 400 unit Kia Picanto versi baharu itu dalam sebulan. 

"Pasaran kami ialah pembeli kereta pertama kali dan kami berharap dapat melancarkannya paling awal pada pertengahan Oktober. "Kami masih mengkaji harga tetapi menjangka dalam lingkungan RM55,000 hingga RM65,000," katanya kepada Bernama. 

Hafiz berkata bagi Picanto baharu ini, Naza Kia akan menampilkan transmisi auto dan manual. "Sebelum ini, kami tidak menawarkan versi manual, jadi Picanto akan menjadi yang pertama. "Kami percaya, terutamanya di kawasan luar Lembah Klang, permintaan bagi kereta manual masih kukuh berikutan harga dan penggunaan bahan api," katanya. 

Semasa ditanya sebab Naza Kia mengambil masa yang lama untuk membawa kereta segmen A ke pasaran tempatan, Hafiz berkata: "Semasa kami memulakan rancangan pemulihan tiga tahun, perkara pertama yang kami fikirkan ialah model lebih kecil seperti kereta segmen A Picanto adalah yang terakhir kami bawa masuk. 

"Ini kerana sebelum ini imej jenama Kia adalah rendah dan jika kami memulakan rancangan pemulihan kami dengan membawa kereta segmen A, harga kami tidak akan menarik. "Itulah sebabnya bila kami buat rancangan pemulihan tiga tahun, kami mula dengan segmen D, jadi bila sudah cukup kuat jenamanya, barulah kami bawa masuk segmen A, iaitu Picanto," jelas beliau. 

Hafiz berkata antara ciri-ciri yang ditawarkan oleh Picanto ialah enjin 1.2 kelas casis, rim 14 hingga 15 inci dan penggunaan bahan api yang boleh mencapai sehingga 16-17 kilometer seliter. Mengenai prospek, Hafiz berkata syarikat akan menampilkan kenderaan pelbagai guna (MPV) tahun depan. -- BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger