Pandu Uji Nissan Almera Impul


Nissan Almera merupakan produk terlaris Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) selaku pengedar dan pemasang rasmi kenderaan Nissan di Malaysia. Buktinya boleh dilihat di atas jalan raya di mana banyak sekali yang memandu Almera. Faktor penting jualannya adalah harga yang berpatutan, saiz yang besar dan keyakinan pengguna terhadap jenama Nissan itu sendiri. Faktor yang lain ialah Almera merupakan produk paling baharu jika dibandingkan dengan pesaing lain seperti Toyota Vios, Honda City dan Proton Persona. 

Model talaan Impul mempunyai karakter yang lebih sporty. Daripada luar, sudah nampak kit badan Impul berjaya mengubah karakter standard dan ‘togel’ Almera. Peralatan Aero Kit Impul terdiri daripada gril, spoiler bawah bampar depan, spoiler bawah bampar belakang, spoiler bonet belakang dan skirt sisi. Bahasa rekaan Almera sebenarnya menarik untuk dikaji dan dibahas. 

Memandu uji Nissan Almera talaan Impul sememangnya memberikan pengalaman berbeza. Masakan tidak, kereta itu dilengkapi dengan suspensi sport Impul yang terdiri daripada penyerap hentak dan spring yang merendahkan Almera sebanyak 25mm. Daripada segi pemanduan dan pengendalian, Almera standard sudah pun mempunyai set suspensi yang bagus dalam menyerap hentakan lopak dan bonggol cuma olengannya kurang mantap. 

Set suspensi Impul berjaya memadam talaan tersebut di samping mengekalkan keberkesanan menyerap hentak dan mampu memberi keyakinan yang lebih sewaktu mengambil selekoh. Cuma mungkin individu yang tidak biasa mungkin akan mengadu mengenai kekerasan suspensi sport. 

Hubungan di antara jalan raya dan kereta ditemukan oleh roda aluminium Impul HS-06 yang dipadankan dengan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5 bersaiz 205/50 R16. Kombinasi rim dan tayar yang senyap dan tidak keras cemerlang dan sesuai untuk pemanduan sporty. 

Jurutera Impul boleh dipuji dalam mendapatkan keseimbangan di antara keselesaan dan prestasi dalam penalaan semula sedan keluarga ini. Mengenai kuasa pula, enjin Almera disegarkan semula dengan penggunaan peredam bunyi Impul Blast 2. Perubahan yang dirasakan tidak banyak selain daripada bunyi nota ekzos yang tidak ketara dan boleh dikatakan sekadar ada namun tetap diperlukan bagi mengubah sedikit karakter enjin 1.5 liter CVTC yang linear. 

Sewaktu memotong atau mendaki bukit di mana transmisi ditukar atau tertukar secara automatik, enjin terasa kasar dan seperti dijerkah dan bunyi yang kuat memasuki kabin. Semasa memandu dalam keadaan biasa, bunyi enjin langsung senyap dan berperwatakan baik seperti seorang budiman. 

Daripada segi dalaman, konsep rekaan yang tinggi menjadikan Almera terasa luas terutama sekali pada bahagian penumpang belakang. Kerusinya pula selesa untuk diduduki dan tiada masalah untuk membawa penumpang berjalan jauh. Bonet barangan juga boleh tahan dan senada dengan budaya rakyat kita yang suka pulang ke kampung. 

Daripada segi gajet pula, Almera ini didatangkan dengan sistem navigasi, kamera undur dan pemain DVD dengan paparan skrin sentuh. Cuma yang menjadi isu ialah paparan sistem navigasi yang tidak berapa intuitif dan boleh ditambah baik lagi. Almera yang dipandu uji juga dilengkapi dengan penyaman udara digital dan butang penghidup enjin (push start button). 

Kesimpulannya, Nissan Almera talaan Impul ini berjaya mengubah karakter luaran dan pemanduan dan pengendalian standard terutama sekali untuk pelanggan muda. Dengan saiz dalaman dan bonet yang luas menjadikan Almera kereta yang ideal untuk pasangan muda, keluarga yang kecil atau yang baru hendak berkeluarga. 

Dilema kebanyakan golongan ini ialah kereta yang nampak jauh lebih tua daripada usia pemandu itu sendiri dan di sinilah aksesori memainkan peranannya. Impul telah melakukan tugasnya untuk menambah ‘jiwa’ pada Almera standard supaya kereta itu seimbang di antara keperluan dan kehendak.

 KLIK UNTUK BESARKAN IMEJ

 
 
 
 

 

sumber  dan diedit semula : GearTinggi
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger