Proton Azam Dapatkan Semula Slot Ranking Nombor Satu Dalam Dua Tahun Ini


Proton Holdings Bhd yakin dapat meraih semula slot ranking pengeluar kereta teratas dari segi jumlah jualan di Malaysia, dalam tempoh dua tahun ini. Pengerusi eksekutif Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata pengeluar kereta nasional ini telah berusaha keras untuk memperkenalkan model-model kereta baharu dengan kelebihan tambah nilai kepada pasaran tempatan dalam lingkungan 24 bulan ini. 

"Kami berhasrat dan amat pasti akan kembali merebut slot nombor satu dalam dua tahun ini," kata beliau kepada pemberita selepas peraduan "Nama Siapa Hebat" Proton. Peraduan ini ialah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia memberikan nama kepada kereta kompak baharu yang bakal diperkenalkan oleh syarikat itu. 

Tahun lepas, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mengekalkan kedudukan nombor satu di antara pengeluar kereta lain dari segi jumlah jualan, dengan jualan sebanyak 189,000 unit, diikuti oleh Proton 141,121 unit. Syarikat induk Proton, DRB-Hicom Bhd terdahulu tahun ini, telah menetapkan sasaran untuk menjual 500,000 kenderaan Proton dalam tempoh lima tahun ini. 

Mohd Khamil berkata syarikat pembuat auto negara itu telah mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat Malaysia, dilihat kepada minat yang ditunjukkan kepada model dan pengumuman baharu. Mengenai kereta kompak baharu itu, beliau berkata, ia akan diperkenalkan awal tahun hadapan, dengan harga dan poin pemasangan akan diumumkan kelak. 

"Kereta ini akan menjadi titik permulaan untuk rangkaian baharu kereta oleh Proton. Dalam hal ini, kami melihat kepada semua segmen pengeluaran kereta. "Kami perlu merasionalisasikan penggunaan kilang kami sebelum mengumumkan di manakah model baharu itu akan dipasang. Tetapi, seperti yang telah kami umumkan sebelum ini, saya rasa model-model baharu akan dipasang di kilang Tanjung Malim," kata Mohd Khamil. Proton mempunyai dua kilang pemasangan, iaitu di Shah Alam dan Tanjung Malim. 

sumber : Bernama Auto
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger