Raikkonen juara GP Aussie


MUSIM terbaru Perlumbaan GP Formula Satu (F1) bermula semalam dengan pemandu pasukan Lotus, Kimi Raikkonen, mencatatkan kemenangan mengejut di Melbourne, Australia. Perlumbaan pertama musim ini telah tergendala dengan pusingan kelayakan hanya diadakan pagi semalam. 

Ini disebabkan keadaan hujan yang lebat yang telah menjejas perlumbaan kelayakan yang seharusnya diadakan Sabtu lalu. Namun, pemandu Finland, Raikkonen tidak menggunakan alasan itu untuk menjejas persembahannya demi mencatatkan kemenangan dengan mengatasi dua bekas juara dunia, Fernando Alonso dan juara bertahan, Sebastian Vettel, bagi mengakhiri perlumbaan di tempat pertama. 

Alonso, pemandu pasukan Ferrari dan Vettel daripada pasukan Red Bull, masing-masing mengakhiri perlumbaan di tempat kedua dan ketiga. Raikkonen telah mencatatkan masa 1 jam 30 minit 03.225 saat untuk menduduki tempat pertama, 12.451 saat lebih pantas daripada Alonso. 

Semasa diwawancara selepas perlumbaan semalam, Raikkonen, yang hanya memasuki pit sebanyak dua kali dalam perlumbaan sulung musim ini, berkata beliau puas hati dengan kemenangannya itu dan memuji keretanya. 

"Ini merupakan sebuah kereta yang baik. Saya gembira dengan kemenangan ini tetapi ini hanya perlumbaan pertama musim ini," kata Raikkonen. Kemenangan Raikkonen itu semestinya menjejas peluang Vettel, yang walaupun memulakan perlumbaan di tempat pertama, hanya mampu menduduki tempat ketiga. 

Pemandu Jerman itu berkata Raikkonen telah memandu dengan hebat dan memang patut pemandu Finland itu muncul sebagai juara di Australia. "Saya gembira dengan tempat ketiga tetapi kami harus, sebagai satu pasukan, memantau keadaan tayar-tayar kami," jelas Vettel yang telah memenangi tiga kejohanan dunia berturut-turut sebelum ini. 

Alonso pula berkata beliau gembira dengan kedudukan keduanya dan menambah ia merupakan satu keputusan yang hebat bagi pasukannya. Vettel semestinya kecewa dengan persembahannya itu kerana beliau dijangka memenangi perlumbaan tersebut dengan mudah tetapi gagal. 

Rakan sepasukannya, Mark Webber juga gagal untuk berlumba dengan baik di negara asalnya itu. Walaupun beliau memulakan perlumbaan di petak kedua, beliau gagal mencabar dari awal dan harus berpuas hati dengan kedudukan keenam. 

Pemandu Australia itu gagal mengawal kenderaannya pada permulaan perlumbaan dan telah dipotong dengan mudah oleh pasangan Ferrari, Alonso dan Felipe Massa. Sementara itu, bekas juara dunia, Lewis Hamilton, yang telah menyertai pasukan Mercedes musim ini, hanya dapat mengakhiri perlumbaan di tempat kelima, di belakang Massa. Rakan sepasukan Hamilton, Nico Rosberg, pula gagal untuk mengakhiri perlumbaan tersebut dan terpaksa bersara pada pusingan ke-27 akibat kerosakan elektronik.

sumber : cyberita
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger