Bayaran Lesen Memandu Kereta Dan Motosikal OKU Dihapuskan - Kong Cho Ha


Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan penghapusan bayaran lesen memandu kepada kira-kira 230,000 pemegang lesen motosikal dan kereta dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).

"Walaupun sebelum ini bayaran cukai jalan untuk kenderaan OKU telah dihapuskan, namun mereka tetap membayar kadar fi lesen memandu yang sama seperti pemandu biasa. "Jadi pemegang lesen memandu motosikal dan kereta dikecualikan membayar fi lesen tetapi hanya membayar RM2 setahun untuk kos lesen sahaja," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program penyeragaman lesen memandu vokasional di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Seri Manjung dekat sini hari ini. 

Selain itu, Kong berkata fi ujian memandu bagi OKU yang dikenakan sebanyak RM10 sebelum ini juga turut dihapuskan. Katanya langkah itu selaras dengan hasrat kerajaan dalam usaha membantu dan meringankan kos sara hidup golongan berkenaan. Pada majlis sama, Kong turut mengumumkan penyeragaman bayaran tahunan bagi lebih 150,000 pemandu yang memiliki lesen memandu kenderaan barang (GDL) dan kenderaan pengangkutan awam (PSV). 

"Bermula hari ini, pemandu tidak lagi perlu membayar fi tahunan berasingan untuk GDL dan PSV, sebaliknya hanya menjelaskan satu bayaran untuk kedua-dua jenis lesen tersebut. "Sebelum ini, pemandu lori yang turut membawa bas perlu membayar RM20 setiap tahun untuk GDL dan RM20 lagi untuk PSV kerana dua jenis lesen adalah berlainan. 

"Berikutan penyeragaman GDL dan PSV ke dalam hanya satu lesen ini, pemandu hanya perlu menjelaskan fi untuk satu lesen sahaja iaitu RM20 setahun berbanding RM40 sebelumnya," katanya yang juga Anggota Parlimen Lumut. 

Beliau berkata selain penstrukturan bayaran lesen tersebut, tarikh tamat lesen pemandu juga akan diselaras mengikut tarikh lahir pemegang lesen. Langkah kementerian menyelaraskan tarikh tamat lesen vokasional kepada tarikh lahir pemandu dibuat supaya mereka tidak terlupa untuk memperbaharui lesen masing-masing, katanya.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger