Pengurusan Proton Akan Lebih Fokus


Pengurusan baharu Proton Holdings Bhd, susulan pengambilalihan oleh DRB-HICOM Group, akan lebih fokus kepada apa yang dilakukan dan meneruskan program perasionalan vendor. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Lukman Ibrahim berkata pengurusan baharu perlu memberi tumpuan dari segi apa yang mahu dilakukan termasuk pengembangan pasaran seberang laut serta pengenalan perkhidmatan dan produk baharu dengan strategi lebih baik. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baharu Cina DRB-HICOM di sini Isnin. Menyentuh mengenai proses perasionalan vendor, beliau berkata ia merupakan proses berterusan, malah dilaksanakan sebelum DRB-HICOM mengambil alih Proton tahun lepas. 

Program perasionalan vendor tidak bermakna mengurangkan saiz vendor tetapi bertujuan mengukuhkan kemampuan dan kapasiti bagi penyerahan tepat masa dan berkualiti. Mengenai kemungkinan penggabungan vendor Proton dan Perodua, Lukman berkata situasi itu sudah berlaku memandangkan terdapat vendor Proton yang turut membekalkan kepada Perodua kerana Proton bermula dahulu. 

"Adalah baik bagi vendor sekiranya dapat membekalkan kepada kedua-duanya, mencapai skala ekonomi yang menguntungkan dengan jumlah yang lebih besar dalam proses tersebut," katanya. 

Menyentuh mengenai model baharu yang akan dikeluarkan tahun ini, beliau berkata masanya belum diputuskan lagi. Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah Urusan DRB-HICOM Group, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Chua Tee Yong.

sumber : Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger