DRB-HICOM Rancang projek 'Kereta Asia'


DRB-HICOM Bhd sedang merancang satu projek besar yang dikenali sebagai Kereta Asia yang bakal menyaksikan Malaysia menjadi hab bagi pengeluaran kenderaan Volkswagen (VW) di rantau ini.

Untuk menjayakannya, pemilik DRB-HICOM, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sedang berusaha untuk menyenaraikan anak syarikat pengedaran kumpulan itu di bursa saham. Rancangannya ialah menyenaraikan Proton Edar Sdn Bhd dan EON Bhd yang digabungkan. 

Sebagai sebahagian daripada rancangan itu, DRB-HICOM sendiri kemungkinan akan dijadikan sebuah syarikat persendirian dan dikeluarkan daripada penyenaraiannya di Bursa Malaysia. Ia adalah antara opsyen yang ada, kata sumber yang rapat dengan cadangan itu kepada BERNAMA. 

Di bawah opsyen itu, cabang pengeluaran automotif dan unit pertahanan DRB-HICOM, akan dipegang secara persendirian oleh satu daripada syarikat yang dimiliki usahawan berkenaan. Pemegang saham sedia ada DRB-HICOM boleh menukar beberapa saham mereka ke dalam syarikat penyenaraian yang baharu itu. 

Sementara itu, cabang pembuatan automotif, akan disenaraikan semula dalam bentuk yang lain, kemudian nanti, di bawah usaha sama DRB-VW. DRB-HICOM dan pengeluar kenderaan terbesar Eropah itu pada Ogos 2010, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama bagi pemasangan dan pengeluaran kenderaan VW di Malaysia. 

Memajukan potensi pasaran di rantau Asean adalah penting untuk strategi pertumbuhan jangka panjang Volkswagen Group, kata Christian Klinger, ahli lembaga pengurusan VW baru-baru ini. Kenderaan VW itu dikeluarkan di kompleks automotif HICOM yang berkeluasan 96 hektar di Pekan, Pahang. Kemudahan itu direka bagi menampung kapasiti mengeluarkan 100,000 unit kenderaan. 

Pada masa ini, kami hanya mengeluarkan 25,000-30,000 unit. Jadi, banyak lagi ruang untuk kilang itu dimanfaatkan, kata Pengarah Urusan kumpulan DRB-HICOM, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil sebelum ini.
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger