Exora, Preve masuk UK tahun depan


Bangkok: PROTON Holdings Bhd akan melakukan kemunculan semula secara besar-besaran di pasaran United Kingdom (UK) tahun depan menerusi pelancaran Preve dan Exora di negara itu. 

Pengeluar kereta nasional itu kini sedang giat mempersiapkan kedua-dua model berkenaan bagi menepati peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan pihak berkuasa UK serta menepati cita rasa pembeli kereta di negara itu. 

Timbalan Ketua Eksekutifnya, Datuk Lukman Ibrahim, berkata pasaran UK sangat penting dalam mengukuhkan kehadiran PROTON di arena antarabangsa.  

Tawar peluang besar 

Pasaran berkenaan, katanya, menawarkan peluang besar kepada pengeluar kereta nasional itu untuk terus berkembang kukuh pada masa depan. 

“Kami mempunyai rekod permulaan yang baik di pasaran UK. Bagaimanapun, perubahan secara berterusan dalam peraturan dan spesifikasi terhadap kenderaan yang dijual di UK, memberi cabaran besar untuk bertindak balas dengan perubahan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Expo Motor Antarabangsa Thailand 2012, di Bangkok baru-baru ini. 

“Kini, kami sedang berusaha menepati peraturan dan spesifikasi yang ditetapkan untuk membuat kemunculan semula di pasaran UK pada separuh kedua tahun depan,” katanya. Lukman berkata, PROTON mempunyai kehadiran yang besar di UK menerusi dua anak syarikatnya iaitu PROTON Cars (UK) Ltd dan Group Lotus plc.  

Perkukuh kehadiran di UK 

Beliau berkata, pihaknya juga kini sedang mengkaji untuk menggunakan sepenuhnya sinergi kedua-dua syarikat berkenaan untuk mengembangkan lagi produknya di pasaran berkenaan. 

“Kami akan mengukuhkan lagi kehadiran kami di UK dengan gabungan sinergi antara PROTON dan Lotus. Kami kini sedang mengkaji strategi yang terbaik untuk meraih manfaat daripada sinergi kedua-dua entiti ini,” jelasnya. 

Lukman berkata, sebagai persediaan, PROTON Holdings sudah memperkenalkan model Preve dan Exora di Australia pada Oktober lalu. 

Beliau berkata, pasaran Australia menjadi penanda aras kepada pengeluar kenderaan nasional itu untuk menghasilkan model kereta yang menepati piawaian antarabangsa.  

Australia pasaran maju 

Katanya, Australia adalah pasaran maju dan dengan menembusi pasaran negara itu dapat membantu kumpulan itu dalam menepati peraturan yang ketat di pasaran yang sangat dikawal selia itu. 

“Jika mahu berjaya pada masa depan, ia mestilah mampu untuk menghasilkan produk global dengan spesifikasi global. Ia juga mesti memenuhi keperluan dan peraturan global supaya dapat menawarkan produk dan perkhidmatan yang setaraf,” katanya. 

Selain pasaran UK, Lukman berkata PROTON juga meninjau untuk memantapkan kehadirannya di negara lain seperti pasaran Asia Barat dan Indonesia. 

sumber : Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

 
www.azelery.com dahulu dikenali saluran07.blogspot.com
Copyright © 2007-2014 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Azelery Published by Shin Chan
Proudly powered by Blogger