‘PROTON tetap kereta nasional’


SEMPORNA: Pengambilalihan Proton Holdings Bhd (Proton Holdings) oleh DRB-Hicom daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) tidak akan melenyapkan fungsi syarikat berkenaan sebagai pengeluar kereta nasional, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kata Timbalan Perdana Menteri, ia bakal membawa PROTON kekal berdaya saing dengan pengeluar kereta lain dalam persaingan industri automotif yang amat mencabar sekarang dan pada masa depan. 

Beliau berkata, kerajaan tidak menghalang Khazanah melepaskan kepentingannya dalam PROTON kerana yakin DRB-Hicom sebagai konglomerat tempatan dan diterajui tokoh perniagaan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, mempunyai strategi perniagaan untuk kekal berdaya saing. 

“Ini untuk memastikan PROTON berada dalam tangan orang kita kerana kita yakin ia mampu berdaya saing dan boleh mengeksport kereta nasional ke lebih banyak negara.

“Hal ini diambil kira oleh kerajaan. Ia masih dalam tangan rakyat Malaysia dan tidak mengubah kedudukan PROTON sebagai kereta nasional,” katanya selepas program bertemu pegawai dan kakitangan sektor awam daerah Semporna di Dewan Masyarakat Semporna, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan bantuan RM21,974 kepada 76 Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta kelas Fardu Ain dan al-Quran (KAFA) daerah ini.

Ditanya mengenai faktor utama Khazanah melepaskan ekuiti berkenaan, Muhyiddin berkata, ia bukan perkara utama kerana yang penting kerajaan membuat keputusan terbaik bagi memastikan PROTON bukan setakat kekal berdaya saing di pasaran automotif dunia, malah terus berfungsi sebagai antara penyumbang kepada industri negara.

“Itu tidak perlu saya ulas kerana kerajaan sudah membuat keputusan. Syarikat yang beli itu syarikat awam,” katanya.

DRB-Hicom, konglomerat dimiliki Syed Mokhtar dipilih mengambil alih Proton Holdings dalam satu janji niaga, yang keseluruhannya dianggar bernilai lebih RM3 bilion. Khazanah mengumumkan penjualan 42.74 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings kepada DRB-Hicom Bhd pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.

sumber : Berita Harian
Share this article :

+ comments + 1 comments

Tanpa Nama
18 Januari 2012 1:58 PTG

DRB Hicom ingin jual Lotus. satu kerugian besar bg Proton. adakah penjualan Proton ini satu kesilapan besar?

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger