KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd merancang mengkomersilkan kenderaan elektriknya pada 2013, kata Pengarah Urusannya Datuk Zainuddin Che Din.
Beliau berkata kenderaan berkenaan yang kini dalam peringkat ujian,
akan dikomersilkan bagi menampung permintaan yang semakin meningkat
untuk kereta elektrik sepenuhnya di Malaysia.
"Pada masa ini, kami sudah menyerahkan tiga Proton Saga EV dan lima
unit Proton Exora Range Extender EV kepada kerajaan untuk ujian.
"Dalam proses pengkomersilan kenderaan, kami merancang menyediakan
sekurang-kurangnya 200 Range Extenders dan 150 Proton Saga EV kepada
kerajaan menjelang akhir tahun depan," katanya kepada pemberita di sini
Selasa.
Beliau berkata kereta berkenaan akan dijual pada harga yang kompetitif dengan nilai wang apabila dikomersilkan kelak.
Harga Proton Saga EV dijangkakan RM70,000 dan Proton Exora Range kira-kira RM100,000.
"Harga itu lebih rendah dan kompetitif bagi kereta elektrik penuh
dalam negara," kata Zainuddin yang juga Pengarah Projek Jabatan
Teknologi Hijau Proton.
Beliau berkata bagi menampung keperluan kereta elektrik sebaik
dikomersilkan kelak, Proton dan kerajaan kini menyediakan mekanisme bagi
membangunkan infrastruktur pusat mengecaj kenderaan elektrik.
"Pada peringkat awal, stesen berkenaan akan didirikan di Putrajaya, Cyberjaya dan lokasi utama di Kuala Lumpur.
"Pada masa ini, beberapa stesen sudah disediakan di pejabat-pejabat Kerajaan," katanya.
Zainuddin berkata kerajaan mungkin membina 100 hingga 150 stesen.
Proton Saga EV, kereta elektrik sepenuhnya dan Proton Exora Range
Extender EV, versi canggih teknologi hibrid, dikatakan sangat cekap
dengan perbatuan kira-kira 70-80 kilometer sehari. - BERNAMA