Tol kekal hingga 2015


KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pemerolehan aset dan liabiliti PLUS Expressways Bhd (PEB) oleh UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi laluan kepada kadar tol yang lebih baik kepada pengguna dan penjimatan RM6.5 bilion bagi kerajaan.

UEM Group dan KWSP hari ini mengumumkan yang mereka bersetuju untuk menyemak semula terma perjanjian konsesi tol dengan kerajaan, di mana tiada kenaikan tol di empat lebuh raya sehingga 2015 dan kerajaan tidak akan membuat sebarang pembayaran ganti rugi.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris berkata, empat lebuh raya berkenaan adalah Lebuh raya Utara Selatan (PLUS), Lebuh raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh raya Link Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dan Lebuh raya Butterworth-Kulim (BKE).

Beliau berkata, mulai 2016, kenaikan kadar tol di empat lebuh raya ini akan ditetapkan pada lima peratus setiap tiga tahun manakala Jambatan Pulau Pinang akan kekal sebagaimana bayaran semasa sehingga akhir tempoh konsesi.

Pada masa ini, kenaikan tol adalah PLUS (10 peratus setiap tiga tahun); ELITE (10 peratus setiap tiga tahun); Linkedua (25 peratus setiap lima tahun); BKE (15-25 peratus setiap lima tahun); dan Jambatan Pulau Pinang (10 peratus setiap lima tahun).

Pada taklimat media dan sidang akhbar mengenai cadangan pemerolehan itu di sini hari ini, Izzaddin berkata, PEB juga akan mengecualikan RM2.9 bilion dalam baki ganti rugi tertunggak semasa dan pembekuan kenaikan tol sehingga 2015, yang akan sebaliknya menyebabkan kerajaan menanggung RM3.6 bilion.

Pembekuan kenaikan tol diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas.

Tiada lanjutan tempoh konsesi bagi PLUS dan Linkedua yang akan berakhir pada Disember 2038, kata beliau.

Bagaimanapun, tempoh konsesi bagi ELITE, BKE dan Jambatan Pulau Pinang akan dilanjutkan kepada Disember 2038.

Tarikh tamat tempoh semasa ialah - ELITE (31 Mei 2030); BKE (27 Jun 2026); dan Jambatan Pulau Pinang (31 Dis. 2021).

Beliau berkata UEM dan KWSP juga dijangka menyelesaikan pemerolehan dan pemegang saham minoriti PEB akan menerima pembayaran mereka pada 31 Disember tahun ini.

Apabila selesai kelak, UEM akan memiliki 51 peratus perantara tujuan khas untuk pemerolehan berkenaan, PLUS Malaysia, manakala KWSP 49 peratus. – BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger