Model P3-21A Bukan Pengganti Proton Persona


Model baru yang akan diperkenalkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd, tahun depan bukan untuk mengantikan model Proton Persona, kata Pengarah Urusan Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir hari ini.

Katanya, model baru itu, yang buat sementara ini dikenali sebagai "P3-21A" adalah kereta baru, dengan rekabentuk baru dan tidak membawa rekabentuk daripada Persona langsung.
  
Direkabentuk bagi memenuhi keperluan perundangan semua kemungkinan pasaran, model bertaraf dunia itu akan dikuasai oleh enjin turbo Campro, kata beliau kepada pemberita.
  
Syed Zainal Abidin berkata model baharu itu juga merupakan satu daripada dua model yang akan dikeluarkan di China sebagai sebahagian kerjasama Proton dengan Hawtai Motor Group Ltd yang berpangkalan di Beijing.
  
Model lain ialah Proton Exora.
  
Proton baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Hawtai Motor bagi kerjasama produk.
  
Syed Zainal Abidin berkata perjanjian tetap akan dirundingkan pada Disember.
  
"Saya baru bertemu wakil Hawtai bagi membincangkan struktur asas mengenai siapa yang akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif, berapa ramai dari Proton akan berpangkalan di sini, jenis produk (akan dikeluarkan di sini), penggayaan perlu dilaksanakan di sini dan sumber mesti dilakukan di sini.
  
"Saya teruja mengenai hal ini, lembaga pengarah teruja mengenainya. Saya yakin ini akan mengurangkan pelaburan yang Proton perlu buat dalam usaha memperluaskan perniagaan kami.
  
"Perolehan kami juga bukan hanya datang daripada penjualan kereta tetapi juga daripada kejuruteraan dan pelesenan dan yang lebih penting, kami kini secara tidak langsung berada di pasaran terbesar dunia, tetapi kami tidak perlu melabur sebilion dolar untuk berbuat demikian.
  
"Ini merupakan pendekatan lebih strategik dan akan berjalan lancar. Mereka memerlukan kami dan kami memerlukan mereka. Ini merupakan hubungan di mana kedua-dua pihak akan menang, kami tidak mengeksploit sesiapa," katanya.
  
Antara isu yang dibincangkan ialah penjenamaan untuk pasaran domestik, yang merupakan Hawtai, tetapi untuk pasaran eksport, ia akan membawa jenama Proton.
  
Proton juga menguji enjin diesel 5 pematuhan Euro Hawtai di keretanya.
  
"Ini merupakan hubungan simbiotik bagi kedua-dua pihak. Banyak perkara yang perlu dilakukan, ia memerlukan banyak pelaburan daripada kami juga," katanya.
  
- Bernama
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger