Anak Syarikat Proton Beli Miyazu


 KUALA LUMPUR 2 Nov. - Lotus Advance Technologies Sdn. Bhd., (LAT) anak syarikat milik penuh Proton Holdings Bhd., bercadang membeli tambahan 15 peratus kepentingan ekuiti dalam Miyazu (Malaysia) Sdn. Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Proton berkata, LAT hari ini memeterai perjanjian jualan saham dengan Sojitz Corporation bagi cadangan pembelian tambahan 2,633,478 saham biasa dalam Miyazu bagi kira-kira RM4.872 juta. 

LAT ketika ini memegang 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Miyazu dan selepas cadangan pembelian itu selesai, ia akan memiliki 66 peratus modal terbitan dan berbayar Miyazu. 

Miyazu yang aktiviti perniagaannya termasuk pembangunan, pembuatan dan penjualan produk dan perkhidmatan berkaitan acuan dan jig, dibentuk menerusi kerjasama antara Proton, Miyazu Seisakusho (Japan) dan Sojitz Corporation.

Proton berkata, harga pembelian RM1.85 bagi satu saham Miyazu mewakili premium 6.9 peratus berbanding aset ketara bersih diaudit Miyazu pada 31 Mac 2011 pada RM1.73.

Syarikat itu juga berkata, pembelian tersebut yang akan diselesaikan dalam masa 30 hari, adalah dalam tunai dan dibiayai menerusi dana dalaman dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan jangka panjang kumpulan. - BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger