Kenderaan Elektrik Proton Bakal Dipandu Uji Sekitar Putrajaya



PROTON Holdings Bhd menyerahkan lapan unit kereta elektrik keluarannya kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta empat lagi kementerian bagi membantu kerajaan menilai potensi teknologi hijau dalam pembangunan sistem dan infrastruktur kenderaan elektrik serta hibrid di Malaysia. 

Kereta elektrik membabitkan tiga unit model yang dikenali sebagai Saga EV dan lima Exora REEV itu diserahkan Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada satu majlis ringkas di Putrajaya semalam. Empat kementerian yang diberikan kenderaan elektrik itu ialah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan. 

Pengerusi PROTON, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, berkata ‘EV’ yang bermaksud kenderaan elektrik dan ‘REEV’ bermaksud kenderaan elektrik penambah jarak itu akan dipandu uji agensi di bawah kementerian berkenaan dan mengemukakan maklum balas mengenai prestasinya kepada PROTON. “Kita menyasarkan menghasilkan 200 kereta jenis ini menjelang 2012 dan menawarkannya untuk jualan kepada orang ramai selepas 2013. 

PROTON berharap kerajaan dapat menawarkan insentif tertentu kepada mereka yang memilih untuk menggunakan kenderaan berkonsep hijau ini. “Kenderaan ini agak mahal berbanding kenderaan biasa tetapi lebih mesra alam dan menepati dasar kerajaan yang menggalakkan pembangunan dan penyelidikan (R&D) mesra alam selain memupuk penggunaan teknologi hijau sebagai pilihan cara hidup masyarakat masa kini,” katanya. Mohd Nadzmi berkata, kenderaan terbabit boleh dipandu sehingga 90 kilometer (km) selepas dicas selama tujuh hingga lapan jam. 

Bagaimanapun, tegasnya, kini sudah ada kaedah baru yang dibangunkan bagi mengurangkan tempoh mengecas itu selain akan dilakukan beberapa penambahbaikan lain sebelum kenderaan itu ditawarkan untuk jualan kepada umum. Antara lain, katanya, teknik mengecas laju yang hanya memerlukan 40 minit sudah dikenal pasti dan pusat mengecas kenderaan terbabit akan disediakan di lokasi kunjungan ramai, umpamanya tempat letak kereta di pusat beli-belah. 

Katanya, teknologi yang digunakan berbeza dengan kereta hibrid lain kerana kenderaan keluaran PROTON menggunakan enjinnya hanya untuk mengecas bateri. Justeru, penggunaan minyak mungkin hanya separuh atau lebih rendah berbanding kereta hibrid lain. Mengenai cukai jalan dan insurans pula, Mohd Nadzmi berkata ia masih dibincangkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana jika berdasarkan keupayaan enjin, Exora REEV umpamanya hanya 600cc dan kerajaan mungkin dapat menimbangkan insentif lain kerana ia menggunakan teknologi hijau. 

Katanya, harga Exora REEV dijangka sekitar RM100,000 atau lebih rendah manakala Saga EV dalam lingkungan RM70,000 kerana kereta hibrid lazimnya 30 atau 40 peratus lebih tinggi berbanding kereta biasa, tetapi ia adalah menjimatkan kerana kurang menggunakan bahan api serta pencemaran.


 
 
 
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger