Jenama PROTON Makin Gah!


PROTON Motorsports berharap mendapatkan sokongan lebih ramai penaja membantunya meningkatkan penyertaan dalam perlumbaan di peringkat antarabangsa dan meraih keputusan yang lebih membanggakan. 

Ketua PROTON Motorsports, Datuk Abdul Razak Dawood, berkata penyertaan pasukan itu pada Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) dan Cabaran Rali Antara Benua (IRC) setakat ini bukan saja mengharumkan nama negara dari aspek sukan permotoran, tetapi juga membantu dari aspek pemasaran mengukuhkan jenama kereta nasional itu dan penaja yang terbabit memberi sokongan. 

Beliau berkata, berdasarkan kajian syarikat penyelidik Media Tica di United Kingdom, publisiti diraih PROTON Motorsports menerusi kejayaan dan pembabitannya dalam rali antarabangsa tahun lalu bernilai £32 juta (RM156.945 juta) yang pastinya adalah pulangan pelaburan yang baik dari aspek pembinaan jenama pengeluar kereta nasional dan penaja pasukan itu. 

“Menerusi pembabitan dalam sukan permotoran, kami juga membantu PROTON meneroka pasaran baru untuk kereta nasional seperti di Jepun yang sudah mula membuat tempahan untuk kereta nasional,” katanya dalam satu temubual di Balai Berita, Kuala Lumpur. 

PROTON Motorsports terbabit dalam dua perlumbaan rali di peringkat antarabangsa - APRC dan IRC - dan setakat ini sudah hampir muncul juara keseluruhan kategori pengeluar APRC tahun ini dan menduduki tempat keenam daripada lapan pasukan dalam IRC berbaki dua lagi pusingan. 

Abdul Razak berkata, berbanding APRC yang mana PROTON Motorsports menyertai kesemua pusingan, penyertaan dalam IRC hanya membabitkan lapan daripada keseluruhan 12 pusingan akibat masalah logistik dan kekangan bajet. Justeru, katanya pihaknya merancang untuk mengumpul dana yang lebih banyak pada tahun depan bagi memastikan PROTON Motorsports dapat menyertai semua pusingan yang dipertandingkan dalam IRC. 

“Tahun ini peruntukan kami hanya kira-kira RM16 juta untuk penyertaan di kedua-dua kejuaraan dan tahun depan kami merancang untuk mengumpul dana kira-kira RM20 juta untuk membolehkan kami menyertai kesemua pusingan IRC,” katanya. 

Menurut Abdul Razak, selain meningkatkan penyertaan pada perlumbaan di peringkat antarabangsa, PROTON Motorsports juga merancangkan membangunkan bakat tempatan dalam sukan permotoran yang kini dilihat agak ketandusan bakat baru selepas era kecemerlangan Karamjit Singh yang juga adalah pelumba rali yang dibangunkan oleh PROTON. 

“Kami sudah mengenal pasti beberapa pelumba muda berbakat dan akan mengetengahkan mereka ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan bagi kategori junior APRC,” katanya. 

sumber dipetik dari : Bharian.com.my
Share this article :

+ comments + 1 comments

Tanpa Nama
21 September 2011 2:50 PTG

tahniah proton. anda kini semakin berjaya!

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger