Proton menang anugerah kereta rakyat dan nilai bagi wang, 2011 tahun gemilang untuk Proton

SUBANG 12 Julai – Proton Holding Bhd merebut anugerah kereta rakyat dan nilai bagi wang untuk kereta keluarga terbaik pada majlis Anugerah Industri Auto-Auto Asia 2011.

Proton Saga FaceLift (FL) 1.6L telah memenangi kategori kereta rakyat terbaik dan Proton Inspira 1.8 memenangi anugerah kategori kereta keluarga bagi nilai bagi wang.

"Proton Saga FL dan Proton Inspira telah berjaya di segi jualan dan anugerah ini adalah satu rangsangan bagi kereta itu dan syarikat untuk menunjukkan prestasi yang lebih baik,” kata Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Proton Edar Sdn Bhd, Sidik Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis tahunan keempat itu menyediakan 19 anugerah bagi mengiktiraf industri automotif terbaik di Malaysia pada tahun ini.

Dalam satu perkembangan yang lain, jualan kenderaan Proton sehingga Mei 2011 sangat memuaskan, di mana Proton mencatatkan jualan sebanyak 72,211 unit keseluruhan, menerajui pasaran apabila mengatasi Perodua dengan kelebihan 1,614 unit. Masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian tetapi persoalannya adakah tahun 2011 ini bakal menjadi tahun gemilang buat Proton?

Perodua Myvi 2011 baru saja dilancarkan pada pertengahan Jun yang lalu dan dikatakan model itu akan mengembalikan zaman kegemilangan Perodua, seperti mana yang direkodkan sejak tahun 2005 – 2010.

Perodua Myvi 2011 bersaiz lebih kecil, ruang simpanan barang-barang dibonet belakang agak sempit berbanding model sebelumnya, selain harga yang agak kurang munasabah dengan apa yang ditawarkan. Perodua mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa harga Myvi 2011 mengalami peningkatan, antaranya pelbagai teknologi baru telah diaplikasikan untuk model itu, selain bencana tsunami di Jepun yang memberikan impak kenaikan harga peralatan dan komponen yang diimport dari sana.

Tetapi alasan-alasan tersebut tidak menepati selera rakyat Malaysia, mereka hanya mahukan sebuah kereta yang selesa untuk kegunaan keluarga dan individu, dengan harga yang berpatutan. Teknologi dan ciri-ciri keselamatan masih lagi bukan pilihan utama, cukup sekadar dengan apa yang mereka mampu bayar.

Saingan dari Proton tidak boleh diperkecilkan lagi untuk tahun 2011 ini. Pengenalan Saga FL sudah cukup membuktikan bahawa mereka serius untuk merampas kedudukan nombor pertama. Kemunculan Saga FL 1.6 Executive secara mendadak itu mengejutkan, Proton sengaja melakukannya dan membuatkan kebanyakan rakyat Malaysia dalam keadaan dilema buat pertama kali, Myvi 2011 atau Saga FL 1.6. Proton Exora Turbo juga bakal menjengah pasaran tidak lama lagi, mampu membunuh pasaran MPV sederhana lain, seterusnya meningkatkan lagi jumlah jualan keseluruhan Proton.

Terbaru bagi merancakkan jualan dan mengekang pengaruh Myvi 2011 yang dirasakan agak perlahan ketika ini, semua model terbaru Proton akan dilengkapi kotak gear CVT, selain versi manual dikhabarkan bakal menerima kotak gear terbaru dari ZF. Kotak gear CVT dimaklumkan akan dibekalkan oleh Punch Transmission dan akan dilengkapi teknologi sport kawalan manumatic (plus/minus). Pilihan terbaik yang sukar dikalahkan oleh pesaingnya, namun perlu berasaskan harga yang munasabah.

Proton sudah berada dilandasan terbaik pada tahun 2011 ini, hadir dengan pelbagai kelebihan pada setiap modelnya, memberi saingan sengit kepada Perodua buat pertama kali. Apa yang berlaku terhadap Perodua ada rahmatnya untuk Proton? Ada kebenarannya, dalam bisnes kita bukan saja perlu menawarkan produk yang bagus, tetapi juga perlu mengharapkan pesaing kita kadangkala tertinggal dalam persaingan, Proton pernah melaluinya dulu.

dipetik dari sumber Bernama dan ArenaKereta
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger