SUBANG JAYA, 4 JULAI 2011 – Proton Holding Berhad hari ini mengumumkan yang mereka bakal memperkenalkan teknologi Continuous Variable Transmission [CVT] untuk model-model akan datang.
Teknologi CVT semakin popular di kalangan pengeluar kereta dunia memandangkan ianya menawarkan pemanduan yang lebih lancar serta lebih efisyen. Teknologi ini walaupun telah lama diperkenalkan tetapi hanya baru-baru ini sahaja digunakan secara besar-besaran setelah dilakukan penambah baikan untuk menanggung beban yang lebih berat berbanding versi lama.
“Pada masa hadapan, CVT akan dipadankan pada enjin CamPro sebagai opsyen kepada transmisi empat kelajuan automatik konvensional,” kata Dato’ Sri Haji Syed Zainal Syed Abidin. Ciri ini bukan sahaja akan menjadikan pemanduan lebih lancar bahkan lebih cekap bahan api dan penjimatan kepada pengguna,” tambah beliau.
Sebagai perbandingan kepada transmisi automatik konvensional, penggunaan CVT pada sistem enjin akan mengurangkan berat sebanyak 20 peratus tanpa kompromi pada keupayaan output. Penukaran gear CVT lebih lancar dengan menghilangkan gegaran tukaran gear, lebih respon dan lancar serta penghantaran kuasa yang lebih konsisten. CVT turut menawarkan pelbagai mode pemanduan mengikut pilihan dan citarasa pemandu.
Dato’ Sri Haji Syed Zainal mendakwa ujian Proton mendapati bahawa penggunaan CVT mampu mengurangkan penggunaan minyak sebanyak 4% untuk pemanduan di dalam bandar dan hampir 10% untuk pemanduan lebuh raya.
sumber : geartinggi
Catat Ulasan