Makmal Satelit Penyelidikan Pertama Negara Proton-UTM


JOHOR BAHRU: Selepas lebih 20 tahun menjalin kerjasama, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (PROTON), semalam melancarkan makmal satelit penyelidikan yang pertama di negara ini khusus untuk membangunkan industri permotoran tanah air.

Makmal yang akan berpusat di UTM Skudai di sini, dan kampus cawangan UTM di Jalan Semarak, Kuala Lumpur akan menyediakan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) khusus dalam teknologi automotif baru menjadi pemangkin kerjasama antara pihak universiti dan industri di negara ini.

Makmal 'Future Drive Laboratory' di UTM Skudai akan digunakan sepenuhnya untuk membangunkan sistem 'e-drive' yang kini semakin banyak digunakan dalam kenderaan hibrid dan elektrik selain difokuskan untuk R&D lanjutan bagi teknologi pemulihan dan penyimpanan tenaga.

Kampus UTM Jalan Semarak pula akan menempatkan 'Active Safety Laboratory' yang menumpukan usaha penyelidikan lanjutan terhadap aspek dinamik kenderaan khususnya menerusi teknologi berasaskan simulasi serta penilaian objektif dan subjektif mengenai teknologi keselamatan aktif.

Pengarah Urusan PROTON, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata kerjasama antara PROTON dan UTM tertumpu kepada aspek penyelidikan bagi menghasilkan inovasi baru yang boleh menambah nilai terhadap produk dihasilkan pengeluar kereta nasional itu.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan Majlis Penasihat Teknikal PROTON (PTAC) yang diketuai Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Zaini Ujang juga membolehkan pihaknya mendapat pengetahuan baru mengenai kehendak industri permotoran global.

“Kita memang tidak mampu melakukannya sendiri, kerana itu kita perlu 'menggalinya' dari universiti kerana mereka memiliki kepakaran,” katanya selepas majlis perasmian yang disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Syed Zainal berkata, PROTON membelanjakan antara RM80 juta hingga RM90 juta setiap tahun bagi R&D tetapi masih belum mencukupi dan memerlukan kepakaran UTM yang memiliki makmal penyelidikan lengkap serta tenaga pakar.

Sementara itu, Zaini berkata, UTM sudah menjalin kerjasama sejak kereta nasional pertama dikeluarkan dan selaras perkembangan itu, pihaknya juga sudah mewujudkan jawatan Kursi Profesor di PROTON sejak tahun lalu bagi merapatkan kerjasama antara universiti dan industri.

“Kita juga akan membantu PROTON memfailkan paten harta intelek dan dalam setahun lalu, 10 harta intelek milik PROTON dihasilkan dan lima daripadanya dalam proses pemfailan," katanya.

Katanya, menerusi kerjasama itu, sebarang harta intelek yang akan dihasilkan PROTON dan UTM akan dipatenkan secara bersama dan boleh dikomersialkan bagi menjana keuntungan.

Dr Zaini berkata, sejak tahun lalu UTM juga sudah melatih 24 profesional teknikal PROTON untuk mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) dan lebih ramai akan mengikuti pengajian pada peringkat PhD serta sarjana apabila seorang profesor, ditempatkan di UTM selepas ini.

“Kita juga memiliki 'super computer' bernilai lebih RM10 juta serta berjuta buku dan jurnal yang boleh digunakan secara khusus untuk profesional PROTON dan kami juga berpengalaman dalam mendaftarkan paten yang sehingga kini lebih 2,000 berjaya didaftarkan," katanya.

Sementara itu, Syed Zainal ketika ditanya mengenai saranan PTAC supaya menghasilkan kenderaan berenjin diesel dan bio-diesel, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak yang berkenaan jika ada permintaan daripada pasaran terhadap enjin berkenaan.

Malah katanya, PROTON sudah menjalankan penyelidikan menggunakan tiga jenis bahan bakar terhadap model Proton dan Lotus tetapi semuanya itu masih di peringkat kajian.

“Penggunaan bio-diesel hanya mampu menyelesaikan separuh daripada masalah dalam menghasilkan enjin lebih mesra alam tetapi penggunaan kenderaan elektrik diperlukan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sehingga kini kerjasama PROTON-UTM berjaya menghasilkan prototaip kenderaan elektrik Saga EV (electric vehicle) menerusi reka bentuk diasaskan model PROTON Saga.

sumber : Bharian.com.my
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger