Kerajaan yakin dengan Lotus – PM


NORWICH 17 Julai – Kerajaan memperaku dan menyokong penuh pelan pemulihan lima tahun Group Lotus melibatkan pembiayaan RM2.3 bilion kerana yakin ia boleh dilaksana dan dicapai, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau pada awalnya mempunyai sedikit curiga terhadap pelan memajukan Lotus itu memandangkan pelaburan terlibat adalah besar, tetapi kini menyokong penuh rancangan berkenaan. “Tetapi, kini saya akan pulang sebagai penyokong tegar pelan pemulihan perniagaan ini,” katanya.

Beliau menyatakan sokongan itu ketika berucap pada majlis jamuan tengah hari bersama para pegawai kanan Group Lotus, sejurus selepas meninjau operasi dan mendengar taklimat di ibu pejabat Group Lotus di sini.
“Kerajaan Malaysia dan Khazanah Holdings menyokong pelan ini kerana ia boleh dilakukan dengan jayanya,” kata beliau sambil menerima tepukan gemuruh.

Malah, katanya, tahap profesional, kesungguhan dan moral kakitangan Lotus berada pada tahap yang tinggi.
“Ia mungkin suatu sasaran yang terlalu bersemangat, cita-cita terlalu tinggi atau terlalu berani tetapi ia sasaran yang perlu diusahakan dengan giat supaya dapat dicapai apa yang dirasai sukar dicapai.”


Turut sama pada pertemuan itu semalam, yang diatur sehari selepas Najib selesai mengadakan lawatan rasmi empat hari ke United Kingdom ialah Pengerusi Proton Holdings, Datuk Seri Mohd. Nadzmi Mohd Salleh.
Turut menyambut beliau ialah Pengarah Urusan Kumpulan Proton Holdings, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Group Lotus, Dany Bahar.

Pelan itu antara lain, menyasarkan keuntungan Lotus menerusi pembangunan produk, kemudahan bangunan, jenama dan promosi kereta Lotus.

Di bawah pelan tersebut, Lotus juga merancang memasarkan model-model kereta baru Esprit dan Elan pada tahun 2013, Elise dan Elite pada 2014 dan model baru Eterna setahun kemudiannya.
Dany Bahar memberitahu, progres pengeluaran model baru itu berjalan lancar. 

Perdana Menteri menilai sendiri prestasi kereta sports Lotus apabila dibawa menaikinya beberapa pusingan di litar ujian Lotus.

Sementara itu, Najib hari ini berlepas ke Rom dari London untuk melakukan lawatan kerja dua hari.
Beliau antara lain dijadual bertemu Pope Benedict XVI dan Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Tarcisco Bertone. – Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger