Industri automotif di ASEAN lebih rancak?


KUALA LUMPUR 10 Julai - Pelaksanaan dasar Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang 2015 dijangka merancakkan pertumbuhan industri automotif rantau ini termasuk Malaysia.

AEC akan menjadikan keseluruhan rantau bernaung di bawah satu bumbung dengan mencipta pasaran dan pusat pengeluaran bersepadu hampir sama dengan konsep Kesatuan Eropah (EU).

Ini bermakna mana-mana pelaburan yang masuk ke salah satu negara di ASEAN, maka mereka berpeluang meluaskan pasaran di rantau ini dengan lebih mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari berkata, pengguna di Malaysia dijangka ditawarkan dengan lebih banyak model kereta yang sebelum ini tiada di pasaran.

‘‘Daya tarikan AEC yang menawarkan pelbagai insentif menarik dijangka menarik lebih banyak syarikat pembuat kereta membuka kilang mereka di rantau ini termasuk Malaysia.”

‘‘Walaupun dilihat memberi sedikit tekanan kepada syarikat automotif tempatan, namun jika dilihat dari sudut positif, mereka mempunyai peluang yang terbuka luas untuk mengembangkan pasaran di rantau ini melalui AEC,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Mohamad Madani berkata, MAI telah merangka beberapa elemen penting keperluan industri automotif tempatan yang perlu dipertimbangkan untuk diserapkan ke dalam AEC.

Katanya, antaranya adalah, meningkatkan kerjasama dalam aspek pembangunan sumber manusia, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkongsian teknologi dan pembangunan kenderaan hijau.
‘‘Kami akan menghantar dokumen tersebut kepada kerajaan untuk dibincangkan semasa mesyuarat antara negara-negara ASEAN bagi membincangkan AEC,’’ jelasnya.

Beliau berkata, antara elemen penting lain yang digariskan oleh MAI adalah pelaksanaan sistem pengurangan, penggunaan semula, dan kitar semula (3R).

‘‘Kami masih tidak mempunyai sistem pengurusan kenderaan yang sudah berusia seperti mana yang diamalkan di Jepun.

‘‘Perkara ini nampak kecil tetapi perkara ini penting untuk pembangunan industri dan juga bergerak aktif ke arah pengurusan industri secara hijau,’’ jelasnya.

dipetik dari Utusan
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger