Syarat Baru Untuk Tukang Tarik Kereta



Kerajaan menetapkan beberapa syarat baru sebelum seseorang itu boleh dilantik sebagai Ejen Perolehan Semula (EPS) kenderaan bagi melindungi kepentingan pengguna.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hanya mereka yang berdaftar dan mempunyai permit dari kementerian boleh dilantik sebagai EPS.

“Mereka akan disaring dan dipastikan tiada rekod jenayah. Mereka juga perlu mematuhi tatacara penarikan semula kenderaan termasuk tempoh masa yang dibenarkan iaitu 9 pagi hingga 9 malam setiap hari, dan mereka tidak boleh
menggunakan kekerasan dalam proses tersebut.

“Sekiranya kenderaan berada dalam kawasan garaj, mereka tidak boleh pecah masuk ke dalam kawasan rumah, kecuali dengan kebenaran mahkamah, dan jika mereka melakukan juga mereka boleh dilapor kepada polis,” katanya kepada
pemberita selepas majlis penyerahan permit EPS di kementerian di sini hari ini.

Mulai Rabu depan, setiap EPS wajib memperoleh permit sebelum melaksanakan tugas menarik semula kenderaan, selaras dengan pelaksanaan Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010) dan Peraturan-peraturan Sewa Beli (Perolehan Permit dan Tatacara
Perolehan Semula) 2011.

Sehingga kini sebanyak 451 permit EPS dikeluarkan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, manakala terdapat 1,053 permohonan untuk mendapatkannya di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata setiap permit mempunyai tempoh sah selama dua tahun, namun jika mereka didapati melanggar peraturan, permit mereka boleh dibatalkan.

Beliau berkata bagi kenderaan yang telah dibayar lebih 75 peratus oleh pembeli, kenderaan itu tidak boleh ditarik semula melainkan dengan perintah mahkamah.

“Jadi kepada tuan-tuan punya kereta, jika ada orang yang datang untuk ambil kereta, tolong tanya kad kuasa kerana sesiapa yang tidak ada kad kuasa, mereka tidak ada hak untuk tarik kereta. Kalau nak lebih yakin, boleh hubungi kementerian untuk pastikan,” katanya.

Sumber: BERNAMA
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger