Satria Neo S2000 ungguli Rally De Nouvelle Caledonie


PROTON mengulangi kemenangan buat Malaysia dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) 2011 apabila dua pemandunya masing-masing menamatkan saingan di tempat pertama dan ketiga pada Rally De Nouvelle Caledonie, semalam.

Meraih kemenangan keduanya musim ini selepas memenangi pusingan pembuka tirai Rali Malaysia April lalu, Chris Atkinson dan juruarahnya, Stephane Prevot yang memandu jentera Satria Neo S2000 menamatkan saingan tiga hari itu dengan menewaskan pemandu pasukan Pertamina Cusco Racing, Rifat Sungkar yang memandu jentera lebih berkuasa Mitsubishi Lancer Evolution X.
Keazaman dan kegigihan rakan sepasukan, Alister McRae turut berbaloi apabila meraih tempat ketiga selepas terpaksa berusaha keras kerana tayar pancit dan kerosakan gandar pemacu.

Kemenangan di New Caledonia itu menyaksikan PROTON meraih bukan saja kedudukan keseluruhan, tetapi turut menduduki tangga teratas di kalangan pencabar APRC dan tempat teratas kategori Piala Pasifik, selain memenangi Trofi Berpasukan APRC.

“Ini keputusan menakjubkan buat PROTON, keseluruhan pasukan serta saya dan Stephane secara peribadi. Perlumbaan yang kami harungi sebenarnya bukan tiada masalah terutama selepas kerosakan gandar pemacu pada hari kedua, tetapi kami bernasib baik kerana membina jurang besar untuk membolehkan ia diperbaiki,” kata Atkinson.

“Daripada segi kuasa, prestasi dan realibiliti, Satria Neo S2000 beroperasi seperti permata pada hujung minggu ini.”

Dengan mata maksimum di New Caledonia, Atkinson melonjak untuk menerajui senarai Pemandu dengan 58 mata, dua mata di depan McRae manakala tempat ketiga diisi pemandu MRF, Gaurav Gill yang gagal menamatkan saingan di New Caledonia.

sumber : Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger