Peserta LID kagum sumbangan PROTON


DELEGASI Dialog Antarabangsa Langkawi 2011 (LID) yang berkunjung ke PROTON Holdings Bhd semalam kagum dengan sumbangan pengeluar kereta nasional itu kepada pembangunan industri automotif di negara ini.

Mereka menyifatkan kewujudan PROTON memberikan impak besar dalam menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan yang terbabit dalam industri berkenaan serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.
Delegasi berkenaan juga memuji PROTON dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan menghasilkan model kereta setanding kereta berjenama terkenal di dunia dengan hanya menggunakan kepakaran tempatan.

Delegasi dari Namibia, Hennie Fourie yang juga Ketua Eksekutif Pengilang Namibia berkata, PROTON mengambil langkah bijak dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkaitan sama ada tempatan dan luar negara dalam melahirkan ramai pakar kejuruteraan tempatan.

“Dengan mewujudkan ramai pakar secara tidak langsung menggalakkan perkembangan inovasi dalam industri itu,” katanya selepas melawat kilang PROTON di Shah Alam, Selangor semalam.

Seorang lagi delegasi, Dr Lomkhosi Mkhonta melihat kerajaan Malaysia juga memainkan peranan penting dalam perkembangan industri automotif di negara ini dengan menyediakan pelan hala tuju yang baik untuk industri itu.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pemimpin yang bagus dan berani untuk melakukan perubahan dalam memastikan ekonominya terus berkembang pesat.
“Pemimpin di Malaysia berani bertindak dan sentiasa memantau setiap langkah diambil untuk memajukan negara. Mereka juga mengutamakan rakyat dalam setiap tindakan,” katanya yang juga Pengarah Eksekutif Pihak Berkuasa Piawaian Swaziland.

Ketua Eksekutif Pusat Teknologi Zimbabwe, Dr Robson Mafoti, pula berkata pihaknya berminat bekerjasama dengan Malaysia dalam sektor pertanian terutama industri perkayuan.

Kira-kira 30 delegasi LID telah dibawa melawat kilang pemasangan Proton Saga di Shah Alam. Mereka meluangkan hampir empat jam di kilang itu. 

sumber : Berita Harian
Share this article :

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
www.azelery.com Info Automotif Tempatan Dan Antarabangsa
Copyright © 2007-2017 azelery.com - All Rights Reserved
Template Created by Shin Chan Published by Azelery
Proudly powered by Blogger